Bukan gaduh perkauman tapi sebab hutang

Iklan
Pergaduhan yang berlaku di pusat makanan Bandar Baru Medan, Sabtu lalu adalah perselisihan faham berkaitan hutang dan bukan perkauman seperti yang tular di laman sosial.
IPOH - Polis Perak menafikan video pergaduhan yang tular di laman sosial membabitkan kumpulan lelaki di sebuah pusat makanan di Bandar Baru Medan Ipoh, Sabtu lalu bukanlah bermotifkan perkauman.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan mendapati pergaduhan yang berlaku kira-kira jam 2.50 pagi itu berpunca daripada perselisihan faham berkaitan hutang.

"Ekoran itu, polis daripada Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah membuat tangkapan lapan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes itu.

"Kesemua mereka yang berusia lingkungan 17 hingga 24 tahun itu ditahan dan hasil siasatan mendapati pergaduhan itu bukalah disebabkan antara kaum mahupun kongsi gelap tetapi pergaduhan antara remaja yang merupakan kenalan mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka direman selama empat hari sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Pihaknya menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh menjejaskan ketenteraman awam," katanya.