SHAH ALAM - Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) menyediakan program latihan semula kepada 2,000 kakitangan yang terdiri daripada juruterbang dan krew kabin bagi meningkatkan potensi mereka supaya dapat meneruskan kesinambungan operasi syarikat tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Izham Ismail, program tersebut amat penting bagi kakitangan syarikat itu memandangkan situasi semasa penularan koronavirus (Covid-19) yang kini memberikan impak yang sangat buruk terhadap industri penerbangan di seluruh dunia.
"Dengan keadaan penularan pandemik yang tidak menunjukkan sebarang tanda untuk pulih dalam masa terdekat, adalah penting untuk kami menyediakan para pekerja dengan memberikan mereka pendedahan kepada kemahiran baharu.
"Kemahiran baharu ini akan membantu mereka untuk bekerja dengan lebih efisien dan dalam masa sama turut bekerja bersama-sama syarikat untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Ini adalah masa terbaik bagi kakitangan kami untuk mempelajari dan seterusnya meningkatkan kerjaya mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Program latihan yang dikenali sebagai latihan MH EDGILE itu turut melibatkan kakitangan daripada unit-unit yang terjejas akibat pengurangan kapasiti operasi.
Jelas Izham, pekerja yang terlibat itu juga akan ditugaskan ke jabatan lain yang memerlukan tenaga kerja terutama di bahagian yang kritikal dan diperlukan berikutan jumlah pekerja yang terhad.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Modal Insan MAG, Datuk Mohd Khalis Abdul Rahman berkata, syarikat itu juga sedang dalam rangka untuk mentransformasikan tenaga kerja mereka untuk beradaptasi kepada cabaran baharu pada masa depan.
Ujar beliau, normal baharu yang berlaku akibat daripada pandemik Covid-19 memerlukan syarikat untuk mempercepatkan adaptasi digital yang memberi kesan kepada pekerja yang kekurangan kemahiran yang berkaitan dengan teknologi berkenaan.
"Sebagai sebuah syarikat yang berdaya saing, kami sentiasa meraikan dan mengambil langkah proaktif dalam menerapkan budaya kerja yang selari dengan perkembangan teknologi semasa.
"Hal ini kerana kami percaya peningkatan kualiti kerja serta proses pembelajaran yang berterusan adalah faktor utama kepada kejayaan sesebuah organisasi,” katanya.
Tambahnya, perkembangan teknologi semasa berevolusi dengan sangat pantas dan memerlukan syarikat penerbangan itu untuk mengubah cara mereka beroperasi.
Sehubungan dengan itu, Khalis berkata, MAG telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menerapkan budaya dan tenaga kerja digital melalui siri pembelajaran seperti Re: Imagine Work Series, Lean and Agile training, MAG Learning Hub, INSPIRE e-learnings.
"Kesemua siri pembelajaran yang kami tawarkan dibuat bagi menggalakkan pertumbuhan inovasi dan pemikiran positif dalam budaya kerja organisasi MAS.
"Selain itu, sesuai dengan amalan norma baharu, kami juga telah memulakan inisiatif untuk menyediakan peluang buat para pekerja bagi menjadi pelopor kepada industri penerbangan masa hadapan di platform dalam talian melalui jenama MAG Way of Working yang bermula pada pertengahan tahun ini,” katanya
Menurut kenyataan sama, MAG juga mengambil langkah proaktif dalam hal menjaga kebajikan pekerjanya ketika tempoh pandemik dengan memperkenalkan Employee Assistance Programme (EAP) pada Mac tahun ini.
MAB juga melancarkan aplikasi digital 24 jam MHeart hasil kolaboratif bersama pembangun aplikasi kesihatan yang menyediakan khidmat kaunseling berkaitan psikologi dan pengurusan kesihatan daripada pakar perubatan untuk pekerja MAS.