Kasut, pakaian jenama tiruan dirampas

Iklan
Zubir (tengah) menunjukkan antara kasut jenama tiruan yang dirampas.

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, berjaya merampas lebih 1,000 kasut dan baju jenama tiruan dalam operasi yang diadakan kelmarin.

Pegawai Penguat kuasa negeri KPDNHEP, Zubir Hamsa berkata operasi dilakukan atas maklumat pemilik cap dagang dan juga hasil pemantauan harian yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa KPDNHEP.

Iklan
Iklan

Katanya, hasil risikan yang dilakukan selama tiga hari itu, pihaknya berjaya mengesan barangan yang dijual dalam pusat membeli belah di Seremban ini adalah jenama tiruan.

"Lebih 1,000 kasut dan baju berjenama yang menggunakan perihal dagangan palsu telah dirampas dengan nilai rampasan anggaran RM170,000.

Iklan

"Kesemua barangan yang dirampas dijual dengan harga RM89 bagi baju dan RM199 hingga RM259 untuk kasut, kebanyakan harga yang dijual adalah lebih murah sebanyak RM50 berbanding harga asal.

"Pengguna diberi gambaran bahawa barangan ini adalah barangan asli, memandangkan mereka menggunakan tag yang seakan asli," katanya pada sidang media hari ini.

Iklan

Turut ditahan empat individu berusia antara 17 hingga 22 tahun, dipercayai pekerja syarikat tersebut.

Bagaimanapun, pemilik syarikat yang merupakan warganegara tempatan, masih lagi dikesan untuk membantu siasatan.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Tambahnya, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas bagi menghalang penjualan barang tiruan dan barangan cetak rompak melalui penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hakcipta 1987.