KOTA KINABALU - Parti Cinta Sabah (PCS) turut mengumumkan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi.
Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung PCS, Ansari Abdullah dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi mengambil kira kepentingan nyawa dan keselamatan rakyat susulan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di Sabah sejak kebelakangan ini.
"PCS telah mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam PRK Batu Sapi yang wajib dijalankan menurut kehendak perlembagaan dan undang-undang negara kita.
"Pada kami, nyawa dan keselamatan rakyat mengatasi segala pertimbangan politik. Sabah sedang dilanda jangkitan virus Covid-19 yang amat teruk dan adalah jelas prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 telah gagal membendung penularan virus itu," katanya.
Menurutnya, Sabah tidak mampu dan tidak berupaya lagi untuk menanggung satu penularan virus Covid-19 baharu jika proses kempen dan pengundian PRK Batu Sapi dilaksanakan.
"Kami berdoa supaya Sabah dan rakyatnya dilindungi ALLAH SWT daripada gejala virus Covid-19 ini," katanya.
Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRK Batu Sapi bagi mengelak penularan wabak itu di Sabah.