KUALA LUMPUR - Tiada kata yang boleh menggambarkan kegembiraan rakyat jelata apabila tersebar meluas berita mengenai pemilihan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada tanggal 24 Januari lalu.
Sidang Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin itu turut mengumumkan pemilihan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Kedua-dua baginda sememangnya terkenal dengan karisma kepimpinan tersendiri dalam menjalankan tugas serta komitmen yang tinggi terhadap kebajikan rakyat.
Walaupun baru dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 12 Januari lalu, pengalaman Sultan Abdullah selama hampir 44 tahun sebagai Tengku Mahkota Pahang menjadi aset utama baginda untuk memikul"tanggungjawab amat besar” dalam melaksanakan amanah sebagai ketua negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Sepanjang menjadi Tengku Mahkota Pahang, baginda dua kali dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang. Kali pertama ketika baginda baru berusia 20 tahun semasa ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong (1979-1984) dan kali kedua pada 28 Disember 2016 selepas kesihatan ayahanda baginda mula merosot.
Sultan Nazrin pula terus menggalas tugas sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang disandang baginda sejak 2016 ketika bergandingan dengan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada ketika itu.
KEPIMPINAN TERBUKTI
Ketokohan dan kepimpinan yang ada pada Sultan Abdullah menjadikan baginda disenangi dan mudah didatangi oleh rakyat. Ini adalah nilai yang diwarisi turun temurun yang ada pada sultan-sultan negeri Pahang sejak dahulu kala.
Menurut Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, tempoh lama Sultan Abdullah sebagai tengku mahkota memberi baginda satu kesempatan yang panjang untuk bergaul dengan rakyat dengan mudah yang tidak terikat dengan adat istiadat raja yang memerintah.
"Baginda boleh bersikap seperti rakyat, terlibat dalam pelbagai kegiatan kebajikan dan pelbagai kegiatan rakyat misalnya dalam arena sukan yang mana penglibatan baginda amat dirasai. Itu adalah satu kesempatan yang cukup baik bagi merapatkan dan mengeratkan hubungan baginda dengan rakyat,” kata beliau.
Ulas Zainal, sewaktu berpeluang memegang tanggungjawab sebagai Pemangku Raja Pahang, Sultan Abdullah telah menjalankan kuasa sebagai ketua kerajaan termasuk menegur kerajaan Pahang bagi memastikan segala hal berkaitan keperluan rakyat dan keperluan masyarakat ketika bermasalah dapat ditangani dengan segera.
Sementara itu, pengkaji sejarah kesultanan Melayu, Raja Yusuf Izzudin Raja Datuk Pahlawan Lope Ahmad berkata Sultan Abdullah adalah seorang yang sangat bertimbang rasa.
Baginda adalah seorang yang suka mendengar pandangan dan sudi berbincang dengan mendalam tentang sesuatu perkara meskipun berlaku perbezaan pendapat dalam perbincangan itu.
"Sikap baginda saling tak tumpah jika dibandingkan dengan ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah yang suka merapati rakyat tanpa batasan protokol dan sikap ini turut dikongsi dengan permaisuri baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar yang sedia dikenali sebagai seorang yang sentiasa bersama rakyat terutamanya di waktu-waktu sukar seperti berlakunya bencana alam dan sebagainya,” kata beliau.
NILAI INTELEKTUAL
Tambah Zainal, bagi Sultan Nazrin pula, nilai intelektual yang ada pada diri baginda menempatkan diri baginda pada kedudukan yang amat baik dalam kalangan rakyat.
"Aspek intelektual baginda dan segala hujah-hujah baginda wajar kita dengar, kerana kita wajar mempertahankan sistem beraja ini. Dari segi itulah kelihatan bahawa rakyat cukup gembira mendapat seorang raja yang bukan sahaja boleh berhujah bahkan lebih dari itu untuk sentiasa bersama rakyat dalam menghadapi pelbagai isu.
"Ini bukan sahaja saluran yang membina hubungan antara raja dengan rakyat tetapi juga membina satu bentuk kesetiaan terhadap raja dan kesetiaan inilah yang amat diperlukan sekarang,” jelas Zainal.
Sementara itu, menurut Raja Yusuf, Sultan Nazrin adalah seorang yang sangat mencintai ilmu. Baginda sering ditemui di kedai buku, contohnya di Kedai Buku Kinokuniya di KLCC. Baginda bahkan turut memiliki perpustakaan peribadi.
Tambahnya, Sultan Nazrin juga banyak bergaul dengan para intelek serta diri baginda sendiri turut dipandang tinggi sebagai seorang intelek, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
BERANI MENEGUR
Berdasarkan rekod, baik Sultan Abdullah mahupun Sultan Nazrin dilihat mempunyai prinsip yang tegas dalam menjalankan tugas.
Ini terbukti daripada teguran baginda berdua merangkumi pelbagai isu terutamanya yang melibatkan kepentingan rakyat.
Pada 21 Februari 2018, Sultan Abdullah yang pada waktu itu menyandang tugas sebagai Pemangku Raja Pahang bertitah bahawa institusi diraja berhak memberi pendapat, menasihati dan menegur kerajaan dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat.
Menurut baginda, hal itu adalah bertepatan dengan teori ‘patriotisme konstruktif’ yang menjelaskan kewibawaan menegur dan memberi pandangan adalah berpunca daripada perasaan cinta mendalam serta rasa tanggungjawab tinggi kepada negara.
Sultan Nazrin juga dilihat memiliki prinsip ketegasan yang sama. Pada 2016 baginda pernah menegur pemaju perumahan yang sibuk membina rumah"mampu lihat” berbanding rumah benar-benar mampu dimiliki rakyat.
Baginda juga pernah menegur perbuatan individu dan pendirian institusi tertentu di negara ini yang membenarkan petugas mereka melakukan tindakan seperti menggunakan kata penghinaan dan tindakan berunsur dendam atau ugutan atas tujuan melindungi Islam namun sebenarnya mencemarkan imej agama suci itu.
Ulas Zainal, walaupun hari ini negara mengamalkan demokrasi tetapi raja tetap berada di atas untuk membolehkan rakyat merujuk kepada suatu kuasa tertinggi dalam negara jikalau sistem demokrasi menghadapi masalah.
Ini terbukti terutamanya selepas Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan beberapa siri krisis perlembagaan berhubung perlantikan Menteri Besar di Perak, Terengganu, Perlis dan Selangor yang akhirnya berjaya diselesaikan melalui kewibawaan dan kebijaksanaan raja yang memerintah.
"Kedua-dua Sultan Ahmad dan Sultan Nazrin adalah raja yang mempunyai prinsip yang tegas dan tidak segan untuk menegur sesiapa sahaja sekiranya berlaku sesuatu perkara yang mendapat perhatian baginda berdua,” kata Raja Yusuf yang juga pengasas portal Sembangkuala yang banyak menulis tentang kesultanan Melayu Perak.
KESULTANAN ABAD 21
"Raja di abad ke-21, kita dapat lihat raja-raja itu tidak lagi menjadi raja yang eksklusif, yang terasing, yang terkurung dalam istana atau hanya fikirkan kedudukan tinggi. Raja pada abad ini adalah raja yang sentiasa rapat dengan rakyat dan sentiasa memikirkan rakyat dan sentiasa terlibat dengan kegiatan di kalangan rakyat,” tambah Zainal.
Menurut beliau, hal ini sebenarnya amat perlu kerana jika raja terasing jauh di dalam istana dan sukar didatangi maka itu akan merenggangkan hubungan dengan rakyat dan ia menjadi satu simbol yang seolah-olah tidak berfungsi.
"Filsafat hubungan Raja-Raja Melayu dan rakyat dapat digambarkan ibarat sebatang pohon. Pohon itu bergantung kepada akar dan akar bergantung kepada pohon. Maka raja itu ibarat pohon dan rakyat itu ibarat akar. Pohon tak hidup tanpa akar, akar tidak hidup tanpa pohon,” ulas beliau.
Zainal turut berharap agar Sultan Abdullah dapat menggunakan pengalaman dan pengaruh beliau dalam arena sukan untuk mengadakan hubungan yang lebih erat antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri melalui kunjungan ke negeri-negeri.
Menurut beliau dengan perhubungan mesra antara anggota Majlis Raja-Raja maka kunjungan seperti ini boleh menanam rasa cinta dan setia dalam kalangan rakyat kerana sentiasa dapat bertemu, bermesra, dapat berinteraksi dengan raja.
Anggota Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini turut bersetuju bahawa Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu boleh menggunakan platform sukan sebagai instrumen perpaduan dalam kalangan rakyat jelata.
Ulas beliau, Sultan Abdullah sendiri aktif dalam kegiatan melibatkan sukan seperti bola sepak, polo, hoki dan sebagainya. Oleh itu boleh dijangka baginda akan menggunakan platform sukan sebagai landasan mendekati rakyat kerana bidang itu memang menjadi minat baginda. - Bernama