PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap siaga bagi menjalankan sansitasi awam di kawasan yang dikenal pasti termasuk zon merah di Sabah dan Klang, Selangor bagi memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19).
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, berdasarkan situasi kebelakangan ini yang menunjukkan kes positif Covid-19 semakin meningkat, pihaknya bersedia pada bila-bila masa yang diperlukan untuk menjalankan tugas berkenaan.
"Kita dalam mode standby (bersedia) dan jika ada kes positif di kawasan yang dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) maka apabila kawasan itu dikosongkan kita akan jalankan proses nyah cemar (sanitasi).
"Lagipun benda ini (virus) tidak nampak dan kita tidak mahu ada orang masuk dan juga keluar di kawasan yang positif Covid-19," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Hotel Marriot, Putrajaya hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya akan menurunkan kuasa kepada pegawai JBPM di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) yang diguna pakai KKM dan turut berkerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah bagi memantau kawasan di setiap zon ditetapkan untuk menjalankan tugas sanitasi.
"Kita berhubung rapat dengan pegawai dan Pejabat Kesihatan Daerah selain operasi yang dijalankan turut mendapat kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Alhamdullilah cara pengawalan yang dilakukan amat baik, cuma dalam situasi terkini, kluster tertentu merebak semula di beberapa kawasan dan tidak sama dengan sebelum ini kerana kali ini virus dikenal pasti sebagai super spreader (mudah berjangkit)," katanya.
Mohammad Hamdan menambah, pihaknya turut mendapatkan kepakaran pasukan dari Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dengan perlindungan maksimum bagi operasi nyah cemar itu.
"Buat masa ini, kita menggerakkan 4,000 anggota di seluruh negara di setiap zon sepanjang Covid-19 bagi memastikan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak itu dapat dicapai.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti lebih 11 hospital termasuk Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu yang akan dinaik taraf dalam usaha memastikan keadaan bangunan selamat bagi mengelakkan kejadian kebakaran yang lebih besar.
"Sehingga kini, terdapat 6,000 bangunan dan premis yang mempunyai sijil perakuan bomba di seluruh negara dan ia akan diperharui.
"Justeru untuk hospital, kita telah menubuhkan satu jawatan kuasa yang melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR). Usaha untuk menambah baik ini sudah berjalan dengan peruntukan yang telah diberikan.