Pamer logo halal tanpa sijil sah

Iklan
Pegawai KPDNHEP menyita logo halal yang dipamerkan di sebuah premis di Teluk Intan semalam. - Foto KPDNHEP

TELUK INTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menyita logo halal dipamerkan di dua premis penyediaan makanan di Teluk Intan di sini semalam.

Pemeriksaan oleh lima pegawai KPDNHEP bersama tujuh pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dilakukan selepas menerima maklumat awam berhubung penggunaan logo halal yang meragukan.

Iklan
Iklan

Ketua Cawangan KPDNHEP Teluk Intan, Mohd Badrul Hisham Ahmad Alias berkata, siasatan mendapati premis pertama tidak mempunyai rekod permohonan sijil halal.

"Siasatan awal mendapati premis tersebut beroperasi sejak Januari lalu dan semakan pihak JAIPk mendapati tiada permohonan sijil halal dibuat.

Iklan

"Pihak KPDNHEP menyita beberapa dokumen dan barang-barang lain sebagai bahan bukti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan kedua melibatkan premis perniagaan kek dan roti yang didapati mempunyai sijil halal yang telah tamat tempoh.

Iklan
Pegawai KPDNHEP dan JAIPk memeriksa premis makanan yang pamer logo halal yang meragukan di Teluk Intan semalam. Foto KPDNHEP

"JAIPk memaklumkan terdapat beberapa bahan dan tempat pembuatan kek yang tidak diisytiharkan serta diragui status halal bahan tersebut.

"Sehubungan itu, KPDNHEP kemudiannya telah menyita logo halal tersebut dan beberapa dokumen lain," katanya.

Katanya, kesalahan itu diklasifikasikan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

"Peniaga perlu tahu kesalahan melibatkan makanan, barangan dan perkhidmatan yang menggunakan logo halal hendaklah memiliki sijil halal.

"Kita memandang serius terhadap mana-mana premis perniagaan yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk di premis perniagaan tanpa diperakui sebagai halal oleh pihak berkuasa," katanya.