KOTA KINABALU - Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong mendesak supaya Datuk Seri Hajiji Mohd Noor menjadi Ketua Menteri kepada semua rakyat di Sabah.
Ia susulan tiada wakil berbangsa Cina dalam barisan Kabinet beliau dan Hajiji harus bekerja keras untuk meraih sokongan daripada komuniti itu.
"Jika diingat semula, Hajiji pada sidang akhbarnya yang pertama sebagai Ketua Menteri berjanji dalam Kabinetnya akan adil dengan melibatkan semua komuniti.
"Oleh sebab pilihan raya sudah selesai, kehendak pengundi harus dihormati.
"Jika Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau apa saja yang mereka panggil kurang sokongan daripada orang Cina, mereka terpaksa meraih sokongan daripada komuniti Cina," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Junz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru turut berkata, pelantikan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee untuk diangkat sebagai menteri harus dipertimbangkan.
"Ya, Hajiji memang melantik Teck Lee sebagai ADUN dilantik, tetapi kenapa beliau tidak dijadikan menteri penuh memandangkan dia seorang saja wakil komuniti Cina yang ada.
"Ini kali pertama dalam sejarah di mana tiada satu pun daripada tiga Timbalan Ketua Menteri yang mewakili komuniti Cina dan ini kali pertama dalam sejarah tiada seorang pun wakil Cina dilantik sebagai menteri penuh," katanya.
Sehubungan itu, Junz berharap Hajiji melakukan sesuatu yang betul sebagai Ketua Menteri untuk semua rakyat Sabah.