Mahu sambung belajar dengan faedah Perkeso arwah ibu

Iklan
Hamzi Hanifa (kiri) menyampaikan replika cek Faedah Pengurusan Mayat kepada dua beradik Muhammad Fakhrul Razi, 18, (dua dari kiri) dan Fatiha Ainna, 7, (tiga dari kiri) di rumah nenek mereka di Kampung Baging, Balok, Kuantan hari ini.

KUANTAN - Remaja yang kehilangan tempat bergantung ekoran kematian ibunya Selasa lalu, berazam untuk meneruskan pelajaran dengan menggunakan wang faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) supaya dirinya dapat memberi kehidupan lebih baik buat keluarga.

Muhammad Fakhrul Razi Abdul Rahim, 18, berkata, dia kini perlu serius tentang masa depannya kerana menggalas tanggungjawab menjaga satu-satunya adiknya, Fatiha Ainna yang berusia tujuh tahun kerana ayah mereka sudah lama berpisah dengan ibunya.

Iklan
Iklan

Bagi menampung perbelanjaan keluarga, ibu mereka Siti Rohani Sapeai @ Shafie, 38, melakukan dua kerja iaitu sebagai tukang cuci dan pembantu kantin di kilang di Gebeng di sini, manakala nenek mereka, Ramlah Yusof, 61, mengambil upah mengasuh kanak-kanak.

"Sebelum ini ada juga terdetik perasaan mungkin saya akan menyusahkan ibu jika sambung belajar, tetapi sebenarnya ibu tetap membantu membuka peluang kepada saya melanjutkan pelajaran walaupun beliau sudah tiada.

Iklan

"Saya juga mahu memastikan adik mempunyai peluang yang sama kerana difahamkan Faedah Orang Tanggungan yang akan diterima adalah setiap bulan sehingga dia berusia 21 tahun," katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumahnya di Kampung Baging, Balok, di sini hari ini.

Dua beradik itu terlebih dahulu menerima kunjungan Timbalan Pengarah Perkeso Pahang, Hamzi Hanifa Mahyuddin bagi menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan yang akan diberikan setelah proses pengiraan caruman selesai.

Iklan

Pada Selasa lalu, Siti Rohani yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut apabila motosikalnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta pada 7.20 pagi di Jalan Kuantan-Kemaman di sini, dan jenazahnya dilihat dua beradik itu kerana semasa itu, Muhamad Fakhrul Razi dalam perjalanan menghantar adiknya ke sekolah.

Muhammad Fakhrul Razi menambah dia berhasrat melanjutkan pelajaran ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) memandangkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dirinya kurang baik dan berhasrat sekurang-kurangnya dapat menggenggam diploma.

Sementara itu, Ramlah meluahkan rasa syukur apabila dimaklumkan bahawa dua cucunya layak untuk menerima faedah tersebut kerana mereka kehilangan tempat bergantung selain mendakwa tidak mengetahui keberadaan ayah dua beradik tersebut.

"Arwah anak sudah lama berpisah jadi mereka tinggal bersama saya. Saya juga sudah tidak kuat untuk mencari kerja lain bagi menanggung perbelanjaan sekolah mereka, jadi bantuan ini sangat membantu memandangkan anak yang kecil masih di sekolah rendah.

"Saya bersyukur juga bila dimaklumkan arwah anak ada mencarum dengan Perkeso. Walaupun dia sudah meninggal dunia, dapat juga dia meninggalkan bantuan untuk cucu meneruskan kehidupan," katanya. - Bernama