Ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar AS minggu depan

Iklan
Ringgit dijangka menyaksikan dagangan dalam jajaran kecil namun cenderung untuk terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

KUALA LUMPUR - Ringgit dijangka menyaksikan dagangan dalam jajaran kecil namun cenderung untuk terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata, kekalutan membabitkan politik AS terutamanya mengenai pakej rangsangan fiskal terbaharunya dijangka menjadi pemacu utama dari segi sentimen risiko di peringkat global.

Iklan
Iklan

"Peralihan jangkaan pasaran membabitkan pakej terbaharu itu berkemungkinan besar akan turut mempengaruhi kelas aset besar seperti ekuiti global dan mata wang dolar/Asia berkenaan.

"Ketidaktentuan membabitkan politik domestik akan turut memberi impak terhadap ringgit dalam tempoh terdekat ini. Bagaimanapun, tekanan sedemikian akan berakhir sebaik wujudnya keadaan yang lebih menjaminkan dari segi prospek dasar Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Perbandingan ringgit/dolar AS telah menyaksikan prestasi yang stabil pada minggu ini dengan terus berada dalam jajaran sekitar 4.145-4.165, katanya.

Mengulas aspek ekonomi dalam negara, Tan berkata data pengeluaran perindustrian Malaysia bagi Ogos dijangka mencatat kenaikan sebanyak 0.2 peratus bagi tahun ke tahun.

Iklan

"Bagaimanapun, sebarang angka yang lebih baik akan memberi sokongan terhadap ringgit walaupun mata wang itu banyak dipengaruhi oleh faktor luaran,” katanya.

Secara teknikalnya bagi minggu depan, beliau berkata, prestasi dolar AS berbanding pergerakan 100 hari ringgit secara puratanya diunjur di bawah paras 200 hari bagi dolar AS.

Ini sekali gus hanya mengesahkan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan dijangka terus mencatat aliran meningkat.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit naik berbanding dolar AS kepada 4.1320/1400 daripada 4.1620/1660 pada minggu sebelumnya.

Ringgit turut mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0474/0542 daripada 3.0502/0543 pada Jumaat minggu lepas dan meningkat berbanding yen kepada 3.9014/9101 daripada 3.9582/9631.

Unit tempatan itu juga naik berbanding pound Britain kepada 5.3456/3576 daripada 5.3748/3821 dan meningkat berbanding euro pada 4.8741/8840 daripada 4.8766/8830 sebelum ini. - Bernama