Pesawah rugi RM284,000 padi ditenggelami air

Iklan
Shaari (kiri) menunjukkan padi yang ditenggelami air.

RANTAU PANJANG - Kira-kira 30 petani dari Kampung Luar dan Tersang di sini mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM284,000 selepas sawah mereka ditenggelami air berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Lebih memilukan, kesemua tanaman padi yang diusahakan di atas tanah berkeluasan 92 hektar itu sepatutnya dituai pada minggu depan, namun hasrat itu terpaksa 'dikuburkan'.

Iklan
Iklan

Kumpulan petani itu memaklumkan, masalah tersebut dipercayai berpunca daripada projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan berhampiran kawasan sawah berkenaan.

Bukan itu sahaja, dakwa mereka lagi jadual sistem pengairan yang berbeza memberikan impak kepada petak-petak sawah di kawasan berkenaan.

Iklan

Wakil pesawah, Azli Jaafar, 52, berkata, kebiasaannya kawasan petak sawah yang diusahakan itu sukar untuk dipenuhi air walaupun hujan lebat kecuali pada musim tengkujuh.

Kawasan sawah bertukar menjadi seperti tasik akibat limpahan air.

"Biasanya menjelang bulan November, kerja-kerja menuai padi sudah selesai. Namun untuk tahun ini, ia tidak berlaku mengikut jadual,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Iklan

Menurut Azli, situasi itu merupakan kali ketiga berlaku yang menyebabkan petani di dua kawasan tersebut berdepan kerugian kesan limpahan air.

Katanya, kejadian limpahan air kali pertama berlaku ketika para petani melakukan kerja-kerja menabur anak benih dan kali kedua, semasa padi berusia 35 hari.

"Kali ketiga ini, kami terpaksa membuat laporan kerana sudah tidak mampu untuk menanggung kerugian,” katanya.

Petani di Kampung Luar dan Tersang di Rantau Panjang mendakwa rugi lebih RM200,000 selepas padi diusahakan mereka musnah ditenggelami air ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Shaari Ismail, 68, yang mengusahakan sawah di atas tanah berkeluasan 26 hektar berharap pihak berkaitan dapat segera membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, penyelesaian segera berkenaan dijangka mampu mengurangkan risiko kerugian para petani di situ pada masa hadapan.