BENTONG - Lebih 1,000 penduduk di Felda Chemomoi di sini meluahkan rasa gusar dengan keselamatan mereka berikutan kerosakan jalan yang dialami sejak sebulan lalu.
Keadaan jalan yang berlubang hampir satu meter itu, berlaku di kawasan berhampiran pasar dan koperasi di Felda tersebut.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Isa Ahmad, 54, berkata, penduduk khususnya pengguna jalan raya di Felda Chemomoi itu bimbang terdedah dengan kemalangan sewaktu melalui jalan tersebut.
Menurutnya, setakat ini, belum ada lagi kes kemalangan membabitkan penduduk di lokasi terbabit.
"Tapi sampai bila? Jangan sudah berlaku baru masalah ini diatasi... jadi kita berharap pihak berkuasa bertindak segera memperbaiki jalan ini.
"Buat masa ini, kita meletakkan penghalang supaya pengguna berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Beliau berkata lagi, masalah tersebut juga telah dikemukakan kepada pihak pengurusan Felda terbabit.
"Kita berharap pengguna berhati-hati dan menjaga keselamatan diri buat sementara waktu sebelum kerosakan tersebut dapat diperbaiki," ujarnya.