KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melabel Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) sebagai pengecut selepas membatalkan hak Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 dijadualkan 28 Julai di Kuching, Sarawak.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, PPIM menghargai ketegasan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak membenarkan perenang Israel memasuki negara.
Iklan
Iklan
Menurutnya, PPIM sependapat dengan Dr Mahathir menganggap Israel sebagai sebuah negara penjenayah yang wajar dikecam.
"Saya menggesa rakyat Malaysia bersatu hati dalam isu ini tanpa mengira pegangan politik, bangsa dan agama.
"Ini bukan soal kita rasis, anti-Yahudi atau anti-semitik, tetapi Malaysia berpegang teguh mengutuk segala perbuatan zalim Israel terhadap penduduk Palestin," katanya.
Nadzim berkata, tindakan itu juga menunjukkan Malaysia negara berpendirian yang tidak tunduk dengan tekanan kuasa besar.
"Negara lain seolah membiarkan sahaja Israel melakukan sesuka hati, tanpa menghiraukan undang-undang dunia tetapi Malaysia tidak berdiam diri," katanya.