SHAH ALAM - Masalah kesihatan mental wajar diberi keutamaan dalam agenda kesihatan negara susulan impaknya yang begitu besar kepada rakyat Malaysia akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, rata-rata masyarakat terkesan dari segi emosi seperti kebimbangan, ketakutan, pengasingan (isolasi), ketidakpastian, serta tekanan perasaan akibat daripada perubahan dalam norma kehidupan.
Menurutnya, ia termasuk warga yang bekerja dan berdepan risiko hilang pekerjaan, kehilangan mata pencarian dan kekangan kewangan.
"Petugas barisan hadapan juga tidak terlepas daripada mengalami masalah emosi dan tekanan akibat daripada terpaksa menanggung tugas, diberi tugas yang berganda atau mengalami 'burn out'.
"Jadi pada tahun ini KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menetapkan tema 'Let's Talk Minda Sihat: Kesihatan Mental Milik Semua, Bersama Cegah Bunuh diri' seiring kempen sama yang dimulakan sejak Oktober 2019.
Katanya, penekanan diberikan terhadap kepentingan kesihatan mental kepada semua individu tanpa mengira umur, agama dan bangsa termasuk keperluan usaha untuk menangani stigma serta mencegah kejadian bunuh diri yang menjadi salah satu impak permasalahan kesihatan mental.
"Kesihatan mental adalah hak asasi dan merupakan komponen penting dalam kehidupan seharian. Oleh itu ia perlu diintegrasikan sebagai salah satu skop dalam liputan perkhidmatan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Dr Adham berkata, dalam mengharungi krisis global ini, tidak ada sesiapapun yang boleh dinafikan hak mereka untuk mendapatkan bantuan dan perkhidmatan kesihatan mental bagi sebarang masalah yang dihadapi.
"Justeru, perkhidmatan sokongan psikososial amat penting bagi menangani masalah kesihatan mental yang tercetus akibat Covid-19.
"Penjagaan kesihatan primer yang berkualiti dan mudah diakses adalah asas untuk liputan kesihatan sejagat dan sangat diperlukan ketika dunia bergelut dengan keadaan kesihatan semasa," katanya.
Menurutnya, antara inisiatif dilakukan KKM bagi mengatasi masalah kesihatan mental dalam kalangan pekerja dan masyarakat sewaktu pandemik adalah dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial melalui Pasukan Kesihatan Mental dan Psikososial bagi kumpulan sasar yang memerlukan.
"Turut diwujudkan talian bantuan sokongan psikososial dengan kerjasama Mercy Malaysia bagi memberikan sokongan dan kaunseling kepada masyarakat dan petugas kesihatan yang terlibat menangani pandemik ini," katanya.
Katanya, masyarakat juga boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan mental yang diberikan melalui empat institusi mental, 1,001 klinik kesihatan, 66 hospital KKM dan 28 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) di seluruh negara.
"Pelaburan ke atas penjagaan kesihatan mental juga adalah penting bagi memastikan peningkatan produktiviti dan kesejahteraan sesebuah negara dan atas dasar itu KKM memperluaskan perkhidmatan kaunseling baharu di seluruh negara kepada yang memerlukan.
"KKM turut menyokong usaha untuk mendekriminalisasikan cubaan bunuh diri dan mengambil inisiatif untuk meletakkan dalam agenda belanjawan negara,"katanya.
Sementara itu, Dr Adham turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al Sultan Abdullah yang dilantik sebagai Penaung Antarabangsa Hari Kesihatan Mental Dunia 2020 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).