SEJAUH mana kebenaran bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin akan diselesaikan sedikit masa lagi.
Ia selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menerima menghadap Ketua Pembangkang itu pada Selasa ini. Ramai yang mengecam tindakan Anwar sebagai langkah tidak wajar dan mengabaikan kepentingan rakyat ketika gelombang baharu pandemik koronavirus (Covid-19) kembali melanda negara.
Namun, daripada perspektif Anwar, itulah waktu dan detik terbaik untuknya menjadi Perdana Menteri. Populariti Muhyiddin sedang terjejas dan kerajaan PN dalam keadaan tidak harmonis berikutan ketidakpuasan hati Barisan Nasional (BN) yang merupakan sekutu utama kerajaan campuran itu dalam beberapa isu termasuk pelantikan Ketua Menteri Sabah.
Jika Anwar mempunyai cukup sokongan ahli Parlimen, inilah masa beliau untuk menjadi Perdana Menteri kerana kemungkinan besar Agong tidak akan memperkenankan sebarang usaha Muhyiddin untuk membubarkan Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, itu bukan bermakna Dewan Rakyat tidak akan dibubarkan. Jika benar Anwar mempunyai angka seperti yang dilaungkan dan Agong cenderung kepada pembubaran bagi memastikan kestabilan politik dapat dipulihkan, maka mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) bukanlah perkara yang begitu buruk.
Dalam keadaan ramai pemimpin politik menjalani kuarantin, maka proses due deligence (semakan berhemat) oleh Agong bagai memastikan dakwaan Anwar itu sah, mungkin mengambil masa berminggu sebelum selesai.
Perlembagaan Persekutuan pula memberi tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran untuk diadakan pilihan raya. Justeru, jika benar Anwar mempunyai sokongan majoriti, paling awal PRU diadakan mungkin pada Januari 2021.
Kesetiaan
Sudah tentu sebahagian rakyat yang telah bosan dengan pelbagai percaturan politik sejak Mei 2018 melihat satu lagi keburukan ahli politik. Namun, ia adalah proses demokrasi yang dianggap sah oleh Perlembagaan dan seharusnya dihormati.
Pergelutan baharu itu pasti mengundang cakap-cakap tentang undang-undang anti lompat parti. Isu kesetiaan dan kejujuran wakil rakyat kepada parti juga akan menjadi topik perbahasan dan kecaman.
Pada hemat saya, undang-undang anti lompat parti tidak akan menyelesaikan isu pertukaran Perdana Menteri. Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan:"Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya, Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Per-tuan Agong.”
Justeru, hilang kelayakan seseorang untuk terus menjadi Perdana Menteri tidak bergantung kepada keahlian parti ahli-ahli Parlimen lain. Ia cukup dengan undian mereka telah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri atau memberi sokongan kepada ahli Parlimen lain sebagai Perdana Menteri.
Hak ahli Parlimen untuk memilih Perdana Menteri pula dijamin oleh Perlembagaan kerana sistem pilihan raya negara tidak mensyaratkan calon kerusi Parlimen harus mewakili parti berdaftar.
Kita sering melihat ada parti kalah di kawasan tertentu walaupun mempunyai penyokong yang ramai hanya kerana salah meletak calon. Pada masa yang sama, ada calon-calon Bebas yang menang pilihan raya. Ia menunjukkan parti tidak boleh membuat tuntutan mereka adalah pemilik tunggal kerusi tersebut. Bukan logo parti sahaja yang menentukan kemenangan ahli Parlimen.
Perlembagaan negara digubal sedemikian rupa kerana mahu memberi ruang kepada wakil rakyat menolak Perdana Menteri jika didapati tidak lagi mampu menjalankan tugas dengan baik. Jika ruang untuk membuat perubahan itu ditutup, kita akan mewujudkan Perdana Menteri yang terlalu berkuasa dan menjadi autokratik.
Cuma masalah yang berlaku pada pasca-PRU14 adalah akibat pengundi membuat keputusan secara emosional. Dalam keadaan pengundi menyalahkan wakil rakyat yang menukar pendirian, beban tanggungjawab juga pada sebahagian pengundi dan parti yang memilih wakil rakyat tidak bertanggungjawab itu.
*Ab Jalil Backer merupakan Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR)