MELAKA TENGAH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka mengesan tapak haram pembuangan sisa toksik serta bahan terjadual berbahaya di Jalan Pengkalan Perigi, Tanjung Kling di sini.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar berkata, sisa toksik yang dikesan adalah buangan terjadual enapcemar atau minyak yang disyaki dari loji penapisan minyak dengan kod SW314.
"Bertindak hasil aduan orang ramai, kita menjalankan risikan dan intipan sejak 6 Oktober lalu termasuk pemantauan menggunakan dron.
"Pada 8 Oktober lepas, kita menyerbu premis tersebut dalam operasi bersepadu bersama polis, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Badan Kawal Selia Air (BKSA)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati lebih 900 tong dram, enam tangki intermediate bulk containers (IBC), tujuh tong tercemar dan lima buah tangki simpanan minyak yang disyaki mengandungi enapcemar minyak disimpan di kawasan premis itu.
"JAS juga akan menjalankan finger printing dan pengumpulan bahan bukti untuk menjejaki pihak yang bertanggungjawab bagi tujuan pendakwaan.
"Kita menjalankan persampelan bahan buangan tersebut yang dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia dalam masa terdekat bagi tujuan analisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan itu.
Katanya, pemantauan dron dan udara masih dilakukan dari masa ke masa bagi memastikan keadaan selamat di lokasi tersebut.
"Premis itu juga diarah menjalani pembersihan dan pelupusan buangan yang disyaki buangan terjadual setelah siasatan selesai dijalankan melalui Notis Arahan di bawah Seksyen 31(1)(g) & 37(1)(c) AKAS 1974," katanya.
Dalam pada itu, Norlin berkata, kertas siasatan sedang disediakan bagi pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu kesalahan menempatkan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.
"Saya ingin memberi amaran keras kepada semua pihak terutama pengusaha industri supaya lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sisa toksik dan mematuhi undang-undang ditetapkan.
"JAS tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar," katanya yang turut merakamkan terima kasih di atas maklumat oleh orang awam berhubung kes yang melibatkan pelupusan haram dan pencemaran alam sekitar," katanya.
Menurutnya, orang ramai dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga JAS, melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my atau portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.