Wilayah kekuasaan sastera

Iklan
Gambar hiasan -Foto 123rf

FAKTOR asas yang menentukan pembaharuan dan perubahan sesuatu kelompok masyarakat bukanlah semata-semata kekuatan politik, material atau ekonomi. Yang akan menentukan semua itu disebut Malek Ben Nabi sebagai The Great Transition dan perubahan ini hanya dapat dibuat dengan iltizam dan tekad budaya yang berteraskan ilmu pengetahuan, tahap pencapaian pendidikan, dan bagaimana dapat mengolah seluruh potensi fikiran dan kekuatan ilmu yang ada untuk mengubah dan membangun masyarakat.

Menurut ahli fikir dari Algeria ini, sebelum mengharapkan perubahan dan menjamin kemerdekaan politik dan ekonomi, sesebuah negara harus memiliki idea pendorong dan penggerak yang dapat menentukan arah hidup dan masa depan.

Iklan
Iklan

Idea itu bukan semata-mata disogokkan oleh orang lain atau idea yang dipaksakan oleh kelompok lain. Ia seharusnya asli walaupun harus mencari kekuatannya dari barat ke timur, dari sejarah lampau atau pengalaman masa kini. Ini diungkapkan beliau sebagai Intellectual Originality.

Apakah pula perkaitan sastera dengan pandangan pemikir tersohor ini? Membicarakan soal perubahan sudah pasti secara tidak langsung akan membuka ruang kepada kita untuk melihat kembali sejauh mana peranan dan kekuatan sastera serta kekuasaannya untuk mengubah landskap peradaban negara dan jati diri bangsa.

Iklan

Istilah sastera berasal daripada kata Sanskrit iaitu ‘sastra’. Akar kata sas- ialah kata kerja terbitan bermakna ‘mengarahkan, mengajar, memberi petunjuk’ atau arahan. Kata –tra menunjukkan alat atau sarana. Dengan itu sastra bermaksud alat untuk mengajar, buku petunjuk, buku arahan atau pengajaran.

Evolusi yang berlaku dalam ketamadunan dan peradaban dunia telah mengubah wilayah kekuasaan sastera itu sendiri. Sastera yang telah melalui perkembangan dari segi konsep dan maknanya ini mengalami perluasan dengan mula memainkan peranan dalam konteks penceritaan, peristiwa, fikiran berbentuk imaginatif-fiksi merangkumi bentuk tulisan mahupun bentuk lisan yang disampaikan untuk tujuan pengucapan kepada masyarakat.

Iklan

Dari masa ke masa, konsep dan konteks sastera mula diterima masyarakat dan berkembang bukan sahaja mencakupi wacana persuratan tapi wahana siasah utama untuk membentuk wilayah kekuasaan negara.

Bayangan tuhan

Perkataan ’Melayu’ tidak terpakai secara meluas sebelum kemasukan Islam di wilayah Asia Tenggara ini. Dari sudut etimologi, perkataan ‘Melayu’ dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit ‘malaya’ bermaksud ‘bukit atau tanah tinggi’.

Namun sumber sejarah yang lebih tepat mengatakan perkataan ‘Melayu’ berasal dari Sungai Melayu yang terletak di Batanghari, Jambi. Di sini juga dikatakan wujud sebuah kerajaan Melayu tua yang dikenali sebagai kerajaan Melayu atau Mo-la-yu.

Perkataan ‘Melayu’ muncul buat pertama kali kira-kira 100-159 Masihi dalam karya Ptolemy, Geographike Sintaxis yang menggunakan istilah ‘maleu-kolon’ merujuk kepada peradaban yang wujud sama ada di Jambi, Pulau Sumatera, atau di Tanjung Kuantan di Semenanjung Tanah Melayu.

Sebelum kedatangan Islam, peradaban yang wujud di wilayah asal bangsa Melayu iaitu di Pulau Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu ini disebut peradaban pra-Melayu. Peradaban pra-Melayu wujud sejak sebelum tahun Masihi lagi, mendirikan kerajaan besar dan menggunakan bahasa yang disebut sebagai bahasa Kunlun.

Bahasa Kunlun atau bahasa Melayu kuno menerima rangsangan luar biasa oleh kegiatan perdagangan di pelabuhan-pelabuhan di Semenanjung Tanah Melayu dan bahagian timur Sumatera yang menjadi titik pertemuan segala pulau. Bahasa Melayu-kuno ini menjadi lingua franca di perairan kepulauan Asia Tenggara dengan menyebar sehingga kepulauan Indonesia lalu memberikan wilayah heterogen itu kesan kebersatuan kepada pihak luar.

Kedatangan Islam menghapuskan konsep ‘bayangan tuhan’ dan memperkenalkan hak persamaan kepada semua manusia. Pencirian zaman baharu di alam Melayu oleh kedatangan Islam terlihat jelas dengan kemunculan bahasa Melayu yang mencerna bahasa Melayu dengan keperibadian tulisan jawi, dan akhirnya mewujudkan apa yang disebut sebagai bahasa Melayu yang terpakai hingga sekarang ini.

Tradisi sastera di alam Melayu dikatakan bermula sejak awal abad Masihi lagi. Bahkan menurut Boris Parnikael, sastera dalam bentuk lisan telah wujud di alam Melayu sejak 2000 tahun Sebelum Masihi lagi iaitu sebelum kemasukan pengaruh Hindu-Buddha dan agama luar.

Sastera awal khususnya dalam bentuk lisan berkait rapat dengan unsur-unsur magis dan ritual yang diamalkan dalam budaya masyarakat alam Melayu. Ia berkembang kepada puisi-puisi doa, puisi lirik yang dinyanyikan dan persembahan cerita.

Wilayah kekuasaan sastera melahirkan pengaruh tersendiri di alam Melayu dalam skala yang berbeza. Demografi dan sosioekonomi yang berbeza bagi setiap negara menyaksikan wujudnya perbezaan yang ketara dalam perluasan wilayah sastera itu sendiri. Berbanding negara kita, negara jiran seperti Indonesia menampakkan kefungsian sastera yang lebih besar lantaran ketidakstabilan politik dan ekonomi yang sering melanda negara mereka.

Wilayah kekuasaan sastera berkembang dengan potensi dan acuan tersendiri meskipun masih wujud kemiripan antara beberapa negara atas beberapa faktor yang saling mempengaruhi.

Pelantar digital yang kini secara meluas digunakan ekoran pertumbuhan Revolusi Industri dan ruang kebebasan yang semakin mengecil akibat pandemik Covid-19 jika dilihat dari aspek positif memberikan ruang potensi kekuasaan wilayah sastera tanpa sempadan yang lebih besar dan bersifat global.

Mengimbas sejarah lalu persis melihat kembali ceritera keagungan bangsa Melayu dan martabat sastera itu sendiri. Wilayah kekuasaan sastera tidak sewajarnya terperuk di dalam halaman naskhah buku dan pengelompokan puak sastera semata-mata sebaliknya perlu difungsikan sebagai penggerak utama menentukan hala tuju pembinaan masa hadapan negara.

*Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia