PETALING JAYA - Dua premis yang dikenal pasti terbabit dengan kes positif pandemik koronavirus (Covid-19) di salah satu sayap bangunan pusat beli-belah One Utama, Bandar Utama di sini masih beroperasi seperti biasa.
Tinjauan Sinar Ahad mendapati belum ada sekatan dibuat kepada pengunjung di kedua-dua sayap bangunan pusat beli-belah tersebut meskipun makluman berkenaan kes di premis terlibat telah diuar-uarkan.
Bagaimanapun, suasana dalam pusat membeli-belah itu lengang. Kehadiran pengunjung tidak sebagaimana suasana biasa pada hari Sabtu.
Seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Jue, 36, yang ditemui di kawasan parkir pusat beli-belah itu berkata, dia tidak tahu tentang kes Covid-19 yang berlaku di One Utama.
Jue yang datang bersama suami dan anaknya berusia kira-kira tiga tahun bagaimanapun mengambil keputusan untuk membatalkan hasrat memasuki pusat beli-belah tersebut sebaik dimaklumkan berkenaan perkembangan terbaru di situ.
"Kalau tahu, dari awal memang kami tak datang. Risau jugalah. Jadi saya tak jadi masuk, terus balik ke Balakong saja,” katanya kepada Sinar Ahad di sini.
Sinar Ahad turut meninjau ke asrama pekerja di Tropicana dan mendapati belum ada sebarang sekatan dibuat memandangkan PKPD secara pentadbiran hanya akan bermula jam 12 tengah malam ini.
Pengawal keselamatan yang ditemui berkata, penghuni asrama berkenaan masih dibenarkan keluar dan masuk selagi tiada arahan sekatan dibuat.
"Mereka keluar untuk beli makanan. Penghuni di sini majoriti terdiri daripada warga asing tapi ada juga warga tempatan,” katanya.