PENYERANG Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi tetap mengutamakan kejayaan skuad The Bos Gaurus pada aksi terakhir liga berdepan Kedah di Stadium Perak, malam ini biarpun dilihat berpeluang untuk memenangi Anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak CIMB Liga Super musim ini.
Dengan merekodkan 10 gol setakat ini Shahrel Fikri atau juga dikenali sebagai Eky mengakui sangat teruja dengan aksi berkenaan yang dilihat sebagai pentas terbaik bagi membalas segala kepercayaan yang telah diberikan oleh ketua jurulatih, Mehmet Durakovic kepadanya selama ini
Justeru menurut pemain berusia 26 tahun itu, dia mahu memastikan kemenangan skuad The Bos Gaurus itu malam ini dan mengesahkan kedudukan selaku naib juara CIMB Liga Super.
"Perasaan saya sangat teruja ketika ini, terutamanya dengan prestasi saya bersama pasukan Perak pada tahun ini. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih atas segala kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih selain kerjasama daripada rakan-rakan sepasukan selama ini.
"Justeru, saya mahu membalas semua itu dengan memastikan kemenangan Perak malam ini dan sekali gus menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan kedua bagi menempah slot automatik ke saingan Piala AFC musim depan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Perak kini mengumpul 18 mata daripada 10 perlawanan hasil lima kemenangan, seri tiga kali dan tewas dua kali berbanding Kedah mengumpul 19 mata hasil enam kemenangan, seri sekali dan tewas tiga kali daripada 10 perlawanan setakat ini.
Selain itu Shahrel Fikri yang turut merekodkan 10 gol setakat ini sebelum ini turut berpeluang memenangi Anugerah Kasut Emas walaupun dicabar hebat dua penyerang import melibatkan Ifedayo Olusegun dari Selangor dengan sembilan gol (tanpa mengira aksi semalam) serta penyerang Terengganu FC I (TFC I), Dominique Da Sylva dengan lapan gol setakat ini.
Sementara itu, Shahrel Fikri menyifatkan dia tidak terlalu memikirkan mengenai anugerah berkenaan sebaliknya mahu memberikan fokus sepenuhnya untuk memastikan kejayaan pasukan Perak.
"Azam saya untuk perlawanan terakhir ini adalah untuk memastikan Perak menamatkan saingan pada kedudukan kedua dan seterusnya layak ke Piala AFC tahun depan.
"Untuk menjaringkan gol, itu sememangnya menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang penyerang; jika ia berhasil (menambah jaringan), ia adalah bonus untuk saya,” katanya.