KOTA KINABALU - Herman Obi seorang pemuda dari Pitas yang beragama Kristian dilantik menjadi Pegawai Khas (hubungan antara kaum) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Dr Aliakbar Gulasan.
Lantikan Herman yang berusia 24 tahun itu adalah sebagai usaha memperkukuhkan lagi hubungan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.
Aliakbar berkata, Herman yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian (Geografi) dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan Setiausaha Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Sabah.
"Beliau seorang beragama Kristian dan ahli DHPP sejak tahun 201 6 dan pelantikannya diyakini dapat memperkukuhkan lagi hubungan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.
"Pelantikan ini membuktikan kesungguhan Pas Sabah membela kebajikan rakyat, merentasi kaum dan fahaman agama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Amiruddin Mohd Rosdi pula dilantikk sebagai Setiausaha Akhbar dan Mohd Nasir Morni sebagai Pegawai Perhubungan Awam, manakala Syamsul Ma'arif Suardi sebagai Pegawai Media.
Khamis lalu Sinar Harian melaporkan, Aliakbar antara enam ADUN dilantik dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Bagaimanapun, pelantikannya yang juga wakil Pas mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk parti di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan pembangkang, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan DAP.
Pelantikan Aliakbar sebagai ADUN dilantik yang juga tidak bertanding mewakili partinya atau memenangi sebarang kerusi turut dipersoalkan, malah Pas dianggap parti pelampau agama oleh pihak tertentu.