ALOR SETAR - Penutupan sementara operasi pusat beli-belah One Utama Petaling Jaya tidak memberi kesan ketara kepada kehadiran pengunjung di Aman Central di sini hari ini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, Aman Central yang menjadi pusat beli-belah terkemuka di Kedah masih menerima kehadiran pengunjung seperti biasa dan sesetengah operasi perniagaan kelihatan lancar, namun bilangan pelanggan sedikit berkurangan berbanding hari biasa.
Bagaimanapun, ada operasi perniagaan sedikit perlahan terutama selepas Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kota Setar selama dua minggu sejak bulan lalu.
Pekerja kedai barangan kecantikan, Ashikin Abd Nasir, 22, berkata, masih ada pelanggan berkunjung ke kedai dan pusat membeli-belah seperti biasa namun bilangan agak sedikit berbanding sebelum ini.
"Jikalau dahulu, sehari lebih kurang 30 pelanggan diterima dalam sehari tetapi kini sambutan agak perlahan dan kebanyakan premis kedai di sini nampak sunyi terutamanya selepas PKPD Kota Setar.
"Setakat jam 1 petang ini, kita baru menerima dua, tiga pelanggan kemungkinan orang awam bimbang penularan virus koronavirus (Covid-19)," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Ashikin mengakui, dia sendiri agak takut dengan penyebaran virus dan lebih berjaga-jaga apabila mengetahui ada pusat beli belah di Selangor ditutup disebabkan tiga pekerja dan seorang pengunjung dijangkiti Covid-19.
Seorang pekerja kedai pakaian, Fatin Najwa Kamis, 20, turut mengakui bilangan pelanggan tidak sebanyak dahulu semenjak pandemik Covid-19 melanda negara termasuk di Kedah.
"Kita juga takut-takut untuk keluar, namun jika tidak bekerja, kita tiada duit. Maka, kita sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi menjaga semua pihak dan diri kita sendiri," katanya.
Manakala, rakannya, Nurul Nabilah Hamzah, 24, berkata, deretan kedai dikenali sebagai Lorong Sempit berkenaan kian sepi dengan kemerosotan bilangan pengunjung sejak sebelum ini.
Nurul Nabilah berkata, sebilangan orang awam berkemungkinan takut untuk keluar, sekali gus menyebabkan bilangan pengunjung ke pusat membeli-belah itu tidak serancak sebelum ini.