CAMERON HIGHLANDS - Tiga unit kedai separuh kekal di Kea Farm di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Kebakaran yang dilaporkan jam 2.24 pagi itu melibatkan kedai barangan serbaneka dan kedai jualan makanan segera.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands, Zulraime Seman berkata, kebakaran awal pagi itu tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan jiwa mana-mana mangsa.
Menurutnya, selepas menerima panggilan, 14 anggota dari BBP Cameron Highlands dan Ringlet ke lokasi untuk operasi memadam dan mengawal kebakaran.
"Anggota bersama jentera tiba di lokasi jam 2.29 pagi dan operasi pemadaman dilakukan sebelum api dapat dikawal dalam tempoh 11 minit.
"Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan forensik bomba," katanya ketika dihubungi hari ini.