JOHOR BAHRU - Polis menafikan dakwaan pemandu kereta jenis Perodua Myvi bahawa dia mengelak kenderaan berhenti di hadapannya hingga terlibat kemalangan dan mengakibatkan kematian di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ini kerana rakaman video yang tular dalam media sosial jelas menunjukkan kereta dipandu wanita berusia 23 tahun itu merempuh kereta Honda Accord dinaiki mangsa hingga kedua-dua kereta terbalik.
"Video itu turut membuktikan dakwaan wanita itu tidak benar sama sekali terdapat kereta lain di hadapan keretanya melainkan tindakannya memecut laju ketika sampai di lokasi kejadian.
"Dakwaan ada kereta berhenti di hadapannya, tidak benar. Dia memang laju. Ada banyak kesalahan yang dilakukan. Tidak mempunyai lesen kenderaan, cukai jalan tamat tempoh dan positif dadah jenis methamphetamine lagi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Pelanggan dan Komuniti Kepolisian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di Paradigm Mall di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut nahas tiga kereta
Dalam kejadian jam 9 pagi semalam, seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala selepas keretanya dirempuh kereta suspek.
Kemalangan itu melibatkan kereta Perodua Myvi dipandu suspek, kereta Honda Accord dipandu Mohd Rizal dan sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu seorang warga emas, Chang Ah May, 78.
Kereta dipandu suspek sebelum itu dikatakan hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok batu pembahagi jalan dan melanggar kereta mangsa serta Proton Iswara sebelum dua kereta tersebut terbalik.
Video dan foto berkenaan kejadian tersebut menjadi tular dalam media sosial dan tersebar sejak semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, siasatan mendapati suspek wanita itu tidak bekerja dan beralamat di Kluang.
"Wanita berkenaan sudah ditahan semalam dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah," katanya.