KOTA BHARU - Pasangan suami isteri yang menjaga dua anak mengalami masalah mental sejak bayi kini menarik nafas lega selepas menerima bantuan air minuman dari sebuah syarikat air minuman hari ini.
Mereka antara 150 membabitkan 30 keluarga penduduk di Kampung Tok Pucong, Kedai Buloh yang menghadapi masalah bekalan air bersih dan terpaksa membeli 30 liter air sehari untuk makan dan minum dua anak istimewanya itu.
Isnin lalu Sinar Harian melaporkan penderitaan dihadapi Ismail Hamat, 67 dan Minah Jusoh, 56, yang menjaga Mohd Suhaimi, 31 dan Ahmad, 39, menghidap masalah mental dan tidak boleh bercakap ketika bayi lagi yang perlu
Penduduk mengadu air yang payau dan terpaksa membeli air bersih untuk menyediakan makanan dan minuman.
Sementara itu, Pengurus Fresh Life Water Resources, Nik Munirah Akmal Nik Mustafa, berkata, syarikatnya terpanggil untuk membantu keluarga Ismail dan penduduk lain selepas media melaporkan kesukaran mereka.
Beliau berkata, selain keluarga Ismail, penduduk lain turut menerima sumbangan itu sebagai khidmat masyarakat kepada komuniti memerlukan.
"Walaupun tidak banyak tapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban mereka untuk seketika,” katanya hari ini.
Beliau berkata, untuk permulaan syarikatnya menyediakan lebih 150 karton air minuman kepada penduduk termasuk 20 karton untuk keluarga Ismail.
Sementara itu, Ismail berkata, dia tidak perlu lagi membeli air minuman untuk membuat susu dan menyediakan makanan untuk dua anak istimewanya dalam tempoh lebih dua minggu.
"Terima kasih kepada yang membantu. Dapatlah kami berjimat dalam tempoh dua minggu ini. Cucu saya tidak perlu mengayuh basikal setiap hari untuk membeli air.
"Tidak lama lagi penduduk dapat bekalan air bersih. Hari ini kami membuat bayaran pendahuluan,” katanya.
Ismail berkata, sebelum ini dia perlu beli 30 liter air sehari yang dikhaskan untuk makan dan minum terutamanya dua anak istimewanya.
Seorang lagi penduduk, Khabsah Harun, 55, bersyukur menerima sumbangan berkenaan.
Khabsah berkata, dia sekeluarga menggunakan air telaga untuk untuk mandi dan membasuh pakaian tetapi terpaksa membeli air minuman kerana bekalan air sedia ada tidak boleh diminum kerana payau.
"Sekurang-kurangnya sumbangan ini boleh membantu kami sekeluarga untuk seketika. Kami harap masih ada bantuan lain sebelum menerima bekalan air bersih,” katanya.