JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri akan membentangkan pelan khusus mengenai keperluan membuka segera sempadan Malaysia-Singapura kepada kerajaan Persekutuan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, esok.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pembentangan itu merangkumi inisiatif kerajaan negeri bagi memperkasakan ekonomi negeri pasca pandemik koronavirus (Covid-19).
"Pembentangan tersebut juga akan menyentuh berkenaan mereka yang bekerja, kesan terhadap pelaburan di Johor serta mereka yang berhasrat untuk masuk melabur di negeri ini.
"Kita perlu menjelaskan mengapa langkah ini (pembukaan sempadan) dibuat kerana kita tidak boleh terus berada dalam keadaan begini kerana ramai rakyat yang terjejas, begitu juga perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan dan Penyerahan Hadiah Pameran Inovasi Asia Antarabangsa 2020 (AIINEX 2020) di sebuah resort di sini hari ini.
Pembentangan itu mencadangkan pembukaan sempadan sepenuhnya di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Ismail (BSI) di sini dan CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar (BSAB), Gelang Patah.
Sebelum ini pembukaan sempadan tersebut yang dibuka semula secara rasmi pada 17 Ogos lalu hanya membenarkan mereka yang keluar masuk membabitkan kemudahan skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).
RGL membenarkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara, PCA pula membolehkan penduduk yang memegang pas Imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja di salah satu negara, memasuki negara itu.
Hasni berkata, Johor adalah sebuah negeri yang unik dan menjadi penyumbang besar iaitu sebanyak 50 peratus bagi hasil cukai negara.
"Dua pintu sempadan iaitu Tambak Johor (BSI) dan Linkedua (BSAB) adalah laluan yang paling sibuk di dunia.
"Penutupan sempadan ini, bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian penduduk di negeri ini yang berulang-alik ke negara itu, malah menjejaskan pelaburan dari Singapura ke negeri ini," katanya.
Menurutnya, pembentangan berkenaan juga melibatkan aspirasi kerajaan negeri yang mahu memastikan pelabur di negeri ini terus kekal.
"Selain itu, pembentangan ini juga bagi memastikan agenda utama seperti hasrat negeri ini untuk memperkasakan program jaminan bekalan makanannya tercapai," katanya.