PETALING JAYA - Pekerja dan penyewa pusat beli-belah One Utama, Bandar Utama hari ini menjalani ujian saringan Covid-19 percuma susulan dua pekerja dan pengunjung premis berkenaan disahkan positif wabak itu.
One Utama menerusi kenyataan di Facebook memberitahu, ribuan pekerja dan penyewa akan menjalani ujian saringan itu selama dua hari sehingga esok.
"Pengurusan One Utama mula menyediakan ujian persendirian secara percuma kepada kakitangan dan kakitangan penyewa pusat beli belah kami hari ini dan esok dengan kosnya ditanggung One Utama.
"Bukan mudah bagi kami menutup operasi dalam satu malam dan mengerahkan ribuan kakitangan untuk melakukan ujian dengan cuaca buruk pagi ini tetapi kami bertahan sehabis daya untuk menjalankan hal tersebut dengan lancar,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengesan pengunjung premis dan hanya yang mempunyai hubungan rapat dengan kes positif akan dipanggil menjalani ujian saringan.
Menurutnya, KKM melakukan pencarian kontak berdasarkan pendaftaran masuk premis di aplikasi MySejahtera dan menghubungi individu terbabit menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) serta panggilan telefon.
"Hanya mereka yang dihubungi perlu hadir ujian saringan secara percuma pada 14 dan 15 Oktober ini di One Utama. Bagi mereka yang tidak menerima panggilan atau SMS dinasihatkan melakukan ujian saringan di fasiliti swasta.
"Kami juga memberikan data penjejakan hubungan dalaman berdasarkan rakaman QR Kesihatan 1 CC dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk membantu KKM menjalankan siasatan," katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi hotline KKM di talian 03-78030106.