Bekas pemandu kudung dihimpit lori

Iklan

SUNGAI PETANI –"Selama 40 tahun merasai nikmat berjalan sendiri, sekarang kudung kedua-dua kaki, saya rasa gelap dan tak tau macam mana nak teruskan hidup.

Demikian luahan bekas pemandu lori, M Nazri Ismail, 41, dari Zon Mawar Ambangan Heights apabila mengenangkan kemalangan 28 Disember lalu di Rawang apabila dihimpit lori yang bergerak sendiri ketika dia sedang membuat pemeriksaan terhadap kenderaan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas menyedari brek tidak berfungsi dengan baik, mangsa bertindak turun dari lori untuk mengenal pasti kerosakan namun nasib tidak menyebelahinya apabila gagal menyelamatkan diri apabila dihimpit.

"Saya rasa macam ada tak kena dengan brek, lepas tu saya turun nak tengok. Bila saya ada di depan, tiba-tiba lori bergerak sendiri tanpa saya sempat mengelak, kebetulan depan lori saya ada sebuah lagi treler, saya tersepit antara kedua-duanya.

Iklan

"Saya bimbang masa depan keluarga, walaupun tiada anak tetapi banyak perbelanjaan lain kesemuanya saya tanggung. Bila jadi macam ni saya tak boleh kerja, terpaksa harapkan isteri ke sana sini uruskan hal saya,” katanya.

Wakil Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda menyampaikan Tabung Wang Bantuan Segera Persekutuan sebanyak RM300 bagi meringankan beban Nazri.

Menurutnya, gaji kira-kira RM4,000 sebulan digunakan untuk membayar ansuran pinjaman perumahan dan beberapa keperluan lain tidak lagi diperoleh selepas hilang punca pendapatan sekali gus menimbulkan kebimbangan bagi menampung ubat-ubatan dan kos perubatan lain.

Iklan

Sementara itu, isterinya, Khairunnisa Musa, 30, berkata, kejadian tragis melibatkan suaminya yang berpengalaman sebagai pemandu lori selama 20 tahun itu berlaku di hadapan matanya.

"Saya ada atas lori dengar dia jerit, saya jenguk ke bawah tak nampak apa dan lepas tu bila turun baru perasan yang lori kami naik tu dah himpit suami.

"Nak dekat 15 hingga 20 minit jugalah kaki tersepit, barulah suami dapat dikeluarkan selepas menerima bantuan,” katanya.

Menurutnya, ketika itu dia sedang menemani suami untuk menghabiskan trip terakhir mengambil kereta dari kilang di Rawang untuk dibawa ke Pulau Pinang sebelum meraikan cuti panjang tahun baharu.

"Selalu juga dia minta saya temankan dan tak sangka kejadian ini berlaku depan mata saya dalam sekelip mata,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Briged Bakti Malaysia (BBM) Kedah, Md Tahir Saad berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib menimpa M Nazri dan mengharapkan sokongan moral supaya bekas pemandu lori itu dapat meneruskan hidup selepas mengalami trauma.

"Disebabkan keluarga itu hanya mempunyai motosikal, kita uruskan pengangkutan ke klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan susulan baru-baru ini.

"Selepas ini kita akan cuba memohon bantuan mana-mana pasukan sukarelawan sekiranya pesakit memerlukan bantuan pengangkutan. Kita juga ada menyalurkan beberapa sumbangan keperluan harian untuk meringankan beban mereka,” katanya.

Menurutnya, dalam masa sama, Tabung Wang Bantuan Segera Persekutuan sebanyak RM300 telah diberikan kepada M Nazri disampaikan wakil Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, selain permohonan bantuan bulanan sedang diproses sebaik sahaja dokumen diperlukan dilengkapkan.

Orang ramai yang mahu membantu, boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 152189329298 atas nama Khairunnisa.