SAIDINA Hassan dan Hussein ialah cucu Rasulullah SAW daripada puteri bongsu baginda, Fatimah Az-Zahra dan menantunya, Saidina Ali.
Rasulullah SAW sangat sayang pada cucu-cucunya. Terdapat banyak peristiwa yang menunjukkan betapa mendalamnya kasih baginda terhadap mereka.
Sewaktu Hassan dan Hussein masih kecil, apabila Rasulullah SAW sembahyang, baginda akan meletakkan mereka di sampingnya. Kedua-dua cucunya itu akan memerhatikan gerak-geri baginda.
Pernah terjadi, ketika baginda sujud, Hassan dan Hussein melompat naik ke atas belakang baginda. Lalu, seseorang cuba menghalang kedua-duanya tetapi baginda mengisyaratkan supaya dibiarkan saja mereka bermain di belakangnya.
Ketika Rasulullah SAW bermain bersama Hassan dan Hussein, tiba-tiba seorang lelaki bertanya kepada baginda,"Ya Rasulullah, apakah engkau sangat cinta kepada mereka berdua?” Baginda terus menjawab,"Sudah tentu. Sesiapa yang mengasihi kedua-dua cucuku ini maka bererti ia telah mengasihi aku, dan sesiapa yang memarahinya bererti ia memarahi aku.”
Baru-baru ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengadakan forum Dialog Harmoni sempena Hari Terbuka Yadim selama dua hari di Kelantan bertujuan menghapuskan Islamofobia serta menzahirkan keharmonian antara kaum.
Dalam forum tersebut, wakil Islam ialah Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim; wakil Kristian, Father Francis Andrew; wakil Buddha, saudara Cheng Po Cen dan wakil Hindu, saudara Vijayakumar Perumal. Saya sendiri diamanahkan sebagai moderator.
Selain daripada Father Francis yang berasal dari Ipoh, Perak, kami semua ialah anak Kelantan.
Yang menariknya, apabila memperkenalkan diri, saudara Vijayakumar mengatakan dirinya lebih dikenali sebagai Hassan di tempat tinggalnya di Kubang Kerian.
Katanya, jika ditanya penduduk setempat di mana rumah Vijayakumar, mereka mungkin tidak tahu tetapi jika disebut Hassan, barulah orang kenal. Saudara Vijayakumar yang juga pengusaha lori amat fasih bercakap Melayu dialek Kelantan.
Tersinggung
Begitulah juga apabila tiba giliran saudara Cheng untuk berbicara. Dia mengatakan dirinya dikenali sebagai Hussein di kampungnya, iaitu Kampung Joh di Machang.
Dia sedikit pun tidak tersinggung jika dipanggil dengan nama Melayu dan dia juga fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan.
Saya turut memanggil kedua-duanya dengan nama Hassan dan Hussein semasa forum tersebut, dan telah disambut dengan gelak tawa mereka yang hadir.
Para hadirin yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama sudah biasa dengan panggilan nama Melayu ke atas sahabat-sahabat Cina dan India yang lain, begitu juga terhadap komuniti Siam.
Ini adalah salah satu keunikan di negeri Kelantan. Hubungan antara orang Cina dengan India dan Melayu di Kelantan amat rapat.
Antara faktor utama keakraban ini adalah kefasihan berbahasa Melayu. Masyarakat Cina dan India di Kelantan boleh ‘kecek Kelate’ dengan lancar sekali.
Tanpa melihat pada penuturnya, jika orang luar mendengar Cina atau India di Kelantan bertutur dalam loghat Kelantan, mereka mungkin beranggapan orang itu ialah Melayu kerana percakapan mereka langsung tidak pelat.
Penguasaan bahasa Melayu yang baik dan sifat toleransi yang tinggi merupakan ramuan perpaduan antara Melayu dengan bukan Melayu di Kelantan.
Semoga masyarakat bukan Melayu di luar Kelantan juga dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik demi perpaduan dan keharmonian di negara kita.
Contohi Cheng Po Cen dan Vijayakumar Perumal. Jadilah seperti Hassan dan Hussein.
*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan