Masalah kewangan, ekonomi antara isu dikupas dalam Wacana Al-Quran

Iklan
Marhaini Yusoff

SHAH ALAM – Program bual bicara baharu Wacana Al-Quran merupakan kesinambungan kepada kejayaan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menganjurkan program My#QuranHour yang menggalakkan masyarakat berinteraksi dengan al-Quran melalui kaedah tadabbur.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program tersebut dianjurkan dengan kolaboratif antara WUIF, Sinar Harian dan Karya Bestari.

Iklan
Iklan

"Program berkenaan akan membawakan solusi berpandukan al-Quran dan as-sunnah dalam pelbagai isu antaranya sosial, ekonomi, politik dan kesihatan mental yang menjadi jeritan hati rakyat.

"Dengan adanya program sebegini, kita yakin ia dapat melahirkan ekosistem Qurani di peringkat diri, keluarga, organisasi, komuniti dan negara. Justeru, matlamat kita untuk ‘MengQurankan Bangsa MengIkhlaskan Ummah’ akan berterusan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Iklan

Menurutnya, idea penganjuran program berkenaan tercetus hasil brainstorming bulanan WUIF yang membincangkan tentang isi al-Quran dalam setiap juzuk bersama pakar-pakar bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) WUIF.

"Berlaku perubahan mindset dan jiwa daripada panduan, pengajaran, petunjuk dan rahmat daripada al-Quran serta model yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam menangani cabaran atau kegelapan pada zaman ini.

Iklan

"Kami yakin hanya dengan kembali kepada al-Quran dan as-sunnah, hidup kita akan lebih terpimpin. Tiada solusi yang lebih baik dalam menangani kehidupan kita pada tahun 2020 ini dan pada masa akan datang kecuali kembali merujuk kepada al-Quran,” katanya.

Katanya, program bual bicara tersebut akan disiarkan secara langsung dari Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini bermula 19 Oktober ini.

"Program berkenaan akan dilaksanakan lima hari seminggu, Isnin hingga Jumaat, pada setiap jam 6 petang selama tiga bulan dan dikendalikan oleh hos tetap iaitu Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail bersama qari serta panel jemputan yang akan membincangkan isu berkaitan.

"Sepanjang lima hari bersiaran, satu hari kita akan membincangkan isu terkini manakala selebihnya isu khas yang kita bawa khusus untuk penonton,” katanya.

Marhaini berkata, diskusi aplikasi al-Quran dalam pelbagai sektor dan topik dengan suluh Quran diharap membantu menjayakan perjalanan misi membawa kitab itu menuju Tahun Hijrah 1,500.

"Kami menyasarkan selama tiga bulan pertama, kita akan membawakan pengisian tentang infak, sedekah dan wakaf sehingga terbentuk minda infak dalam kalangan masyarakat.

"Kita berharap isu itu dapat dikupas dan difahami. Ada formula daripada Ilahi yang menjadi solusi dalam banyak masalah kewangan dan ekonomi yang sedang kita hadapi.

"Insya-ALLAH, topik khas pertama akan dibawakan selama beberapa bulan dan kemudian kami beralih ke topik-topik lain dalam misi ‘MengQurankan Bangsa dan MengIkhlaskan Ummah’,” katanya.

Justeru, beliau berharap program Wacana Al-Quran menjadi platform untuk orang ramai mendapatkan kekuatan dan panduan menjalani kehidupan.

"Semoga al-Quran memberi cahaya, kekuatan serta solusi kepada jeritan hati rakyat ini,” katanya.