Kanak-kanak terjatuh dari Bukit Bal, Seremban

Iklan
Mangsa yang terjatuh dari puncak Bukit Bal, Seremban petang tadi diberi rawatan awal sebelum dihantar ke HTJ.

SEREMBAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dipercayai mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang dan pinggang apabila terjatuh dari puncak Bukit Bal, di sini petang tadi.

Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan Mohd Syazwan Saidy berkata, pasukannya menerima panggilan kecemasan jam 6.08 petang dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

Iklan
Iklan

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Bomba membuat operasi menyelamat di Puncak Bukit Bal dengan ketinggian 230 meter menggunakan peralatan khas.

"Kami mengambil masa selama 45 minit untuk menaikkan mangsa dan membuat rawatan awal terhadap mangsa di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Iklan
Lokasi kejadian di Bukit Bal, Seremban.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa kemudiannya berjaya dibawa turun menggunakan pengusung dan telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk rawatan lanjut.

"Berdasarkan maklumat daripada ibu mangsa, ketika dia dan suami serta sepupunya sampai di puncak Bukit Bal secara tiba-tiba anaknya (mangsa) tergelincir lalu terjatuh ke bawah.

Iklan

"Suaminya bergegas menyusuri bukit untuk menjejak anaknya. Orang awam yang menunggang basikal di lokasi kejadian turut membantu dan menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya.