TELUK INTAN - Seorang lelaki warga emas ditemui rentung selepas kediamannya di Jalan Selat di sini terbakar awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mayat Tan Ah Lang, 78, dijumpai di atas katil dalam sebuah bilik ketika operasi menyelamat dijalankan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Penolong Penguasa Bomba Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima laporan membabitkan kebakaran dua rumah jenis dua tingkat pada jam 4.42 pagi.
"Semasa tiba di lokasi kejadian, api sedang marak, sebuah rumah musnah 90 peratus manakala sebuah lagi terbakar 10 peratus.
"Seorang lelaki ditemui rentung di dalam sebuah bilik di bahagian tengah rumah pada jam 6.30 pagi," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi pemadaman masih dijalankan dengan bantuan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang dan Pasukan Bomba Sukarela Teluk Intan," katanya.