IPOH - Kajian terhadap persepsi masyarakat menunjukkan hampir 80 peratus pegawai dan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini mengamalkan rasuah.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Razim Mohd Noor berkata, peratusan yang diperoleh daripada tinjauan awam itu lebih tinggi berbanding kes sebenar yang direkodkan.
"Berdasarkan kajian, PBT sentiasa dalam senarai dari segi persepsi negatif.
"Sehingga hari ini apabila simple survey dilakukan, orang ramai yang kita jumpa terutama peniaga memberikan persepsi tinggi terhadap PBT mengamalkan rasuah sedangkan mereka yang terlibat sama ada memberi atau menerima ialah sekitar 20 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program PBT Perangi Pemberi Rasuah & Eksekutif Talk 'Hala Tuju PBT ke arah Organisasi Bebas Rasuah' di sini malam tadi.
Menurutnya, tugas dan peranan PBT yang paling kerap bertemu masyarakat di lapangan merupakan antara faktor penyumbang kepada persepsi terbabit.
"Setiap PBT perlu memperkasakan integriti organisasi dengan mengambil tindakan yang betul apabila berdepan dengan kesalahan dan aduan rakyat," katanya.
Katanya, kes penahanan pegawai dan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) oleh SPRM dua bulan lalu adalah contoh masyarakat muak apabila kesalahan yang dilakukan tidak diambil tindakan.
"Rasuah ini berkait rapat dengan persepsi, jadi janganlah sampai ada orang kata sudah lapor, tetapi tidak diambil tindakan.
"Sebolehnya jangan ada ruang untuk orang mengesyaki atau memberikan persepsi bahawa kita tidak ambil tindakan sebab adanya unsur-unsur rasuah," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, SPRM menjadikan PBT negeri Perak sebagai penanda aras terhadap kejayaan program perangi rasuah sebelum ianya benar-benar dilaksanakan ke seluruh negara tahun hadapan.
"Hasrat SPRM adalah mendapatkan kerjasama kerajaan negeri dan PBT dalam memerangi jenayah rasuah kerana dengan memperkasakan integriti dan menjauhi jenayah ini, kita akan dapat mengembalikan maruah serta martabat penjawat awam," katanya.
Program berkenaan disertai 75 peserta daripada 15 PBT dalam Perak itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Mohamad Tarmize Abdul Manap dan Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd Fauzi Mohamad.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir dan YDP Majlis Daerah Gerik, Meor Shahibul Fadilah Zainuddin.