WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam mengisytiharkan dirinya imun koronavirus (Covid-19) dan bersedia untuk satu 'pertarungan" dengan pencabar jawatannya, Joe Biden yang memasuki minggu-minggu terakhir sebelum pilihan raya Presiden negara itu bermula.
Doktor yang merawat Trump memberikan 'kebenaran' kepadanya pada Sabtu lalu untuk kembali semula menyertai kempen pilihan raya Presiden yang berlangsung pada 3 November ini selepas beliau tidak lagi berisiko dengan jangkitan Covid-19.
Kebenaran itu diberikan walaupun Presiden AS tidak diisytiharkan bebas sepenuhnya Covid-19 dan imunitinya didakwa masih belum dibuktikan.
"Ia kelihatan seperti saya imun dengan (covid-19). Saya tidak tahu mungkin untuk jangka masa panjang atau jangka pendek atau mungkin untuk seumur hidup. Tidak ada seorang pun yang tahu tetapi saya imun," kata Trump pada program televisyen Fox News berjudul Sunday Morning Futures.
"Perkataan imuniti bermaksud mempunyai satu perlindungan. Justeru, anda mempunyai seorang Presiden yang tidak perlu bersembunyi di tingkat bawah tanah seperti pencabarnya (didakwa merujuk kepada Biden)," tambah Trump.
Semalam laman sosial Twitter 'menyembunyikan' satu kenyataan daripada Trump yang mendakwa beliau imun dengan Covid-19 dengan menyatakan beliau melanggar peraturannya tentang maklumat silap dan berpotensi memberikan informasi salah.
Namun, hantaran kenyataan itu masih boleh dilihat jika pengguna menekan 'butang' amaran di laman tersebut.
Sementara itu, dalam satu wawancara menerusi telefon dalam program tersebut, Trump menyatakan kemungkinan Biden sedang sakit.
"Jika anda melihat Joe (Biden), beliau batuk teruk semalam dan memegang pelitup mukanya ketika batuk. Saya tidak tahu apa semua itu dan tidak mendapat terlalu banyak tekanan," kata Presiden As itu.
Trump, 74, dirawat dengan Regeneron, iaitu sejenis ubat yang mungkin memberikan imuniti selama beberapa bulan berbanding dengan satu vaksin.
ARTIKEL BERKAITAN: Trump kembali bertugas selepas dijangkiti Covid-19
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Regeneron, Leonard Schleifer dalam program 'Face the Nation' terbitan badan penyiaran CBS berkata semalam bahawa:"Dalam beberapa kes, vaksin mungkin berlanjutan selama beberapa dekad. tetapi jika anda memperoleh (imuniti) secara semula jadi, ia (jangka masa imun boleh bertahan) masih lagi tidak diketahui".
Trump dibenarkan keluar dari sebuah hospital tentera pada 5 Oktober lalu selepas dirawat pada 2 Oktober akibat dijangkiti Covid-19. - AFP