Pulau Pinang muktamadkan SIMP bagi PSR

Iklan
Zairil Khir Johari

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Pulau Pinang sedang memuktamadkan dan memperhalusi langkah-langkah mitigasi, selain mekanisma pelaksanaan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) bagi Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

Exco Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, SIMP tersebut merupakan inisiatif pemberian bantuan kepada nelayan yang terkesan dengan projek mega tersebut.

Menurutnya, Jawatankuasa Petugas Nelayan yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Zakiyuddin Abdul Rahman sedang memuktamadkan pakej ex-gratia antaranya Pakej Bantuan Hidup (bayaran ex-gratia dan elaun bulanan).

Iklan
Iklan

"Selain Pakej Bantuan Hidup, kerajaan negeri juga sedang memuktamadkan Pakej Pemerkasaan antaranya jeti nelayan baharu, koperasi nelayan, skim tuisyen dan pendidikan untuk anak-anak, latihan skim kepada nelayan dan anak-anak serta peluang pekerjaan bagi mereka yang berkelayakan.

"Dalam pada itu, kita sedang mempertimbangkan keutamaan pendaftaran rumah mampu bagi membantu nelayan yang belum memiliki rumah sendiri," katanya ketika menjawab soalan tambahan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Iklan

Zairil memaklumkan, kerajaan negeri melalui pejabat dan agensi berkaitan sedang mengumpul maklumat terperinci bagi merangka pakej tersebut yang membolehkan memenuhi keperluan dan kehendak nelayan.

"Secara keseluruhannya, projek PSR mendapat kelulusan wajib yang diperlukan daripada kerajaan Persekutuan.

Iklan

"Lanjutan daripada kelulusan Laporan Kesan Penilaian Kepada Alam Sekeliling (EIA), salah satu syarat adalah untuk menyediakan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata, laporan EMP itu akan mensyaratkan kontraktor yang dilantik dalam mematuhi syarat-syarat kelulusan EIA semasa kerja-kerja penambakan dilaksanakan.

Jelasnya, pada waktu ini, laporan EMP (Pindaan 1) telah dikemukakan kepada pihak JAS Pulau Pinang pada 17 Julai lalu dan masih menunggu kelulusan.

Pada Januari lalu, wakil Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) memberi cadangan skim nelayan kepada Jawatankuasa Taskforce Nelayan, manakala cadangan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diterima pada Februari lepas.