Penjawat awam Pulau Pinang terima bonus setengah bulan Disember ini

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan bayaran bonus akhir tahun sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam di negeri ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika membentangkan Ucapan Bajet 2021 Pulau Pinang di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemberian itu melibatkan 4,009 penjawat awam dengan pembayaran keseluruhan sebanyak RM5.5 juta.

"Pemberian itu bagi menghargai penjawat awam bagi tahun 2020 yang banyak berjasa dengan kerajaan negeri.

Iklan

"Pembayaran bonus tersebut akan dibuat pada Disember ini. Komitmen jitu yang diberikan oleh penjawat awam telah membantu Pulau Pinang dalam mengekalkan prestasi yang cemerlang dalam semua bidang.

"Mengambil kira sumbangan penjawat awam yang tidak terhingga dan bagi melonjakkan semangat mereka, saya meluluskan bayaran bantuan khas kewangan (BKK) akhir tahun iaitu setengah bulan gaji atau minimum RM1,000," katanya di sini hari ini.

Iklan

Jelas Ketua Menteri itu, pencapaian gemilang yang dikecapi kerajaan negeri pada tahun ini tidak akan dapat dicapai tanpa komitmen dan sokongan jitu daripada penjawat awam.

Kon Yeow berkata, selain penjawat awam, seramai 1,587 penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) turut mendapat imbuhan sebanyak RM300.

"Selain guru Kafa, seramai 343 guru sekolah rendah agama rakyat, 263 guru sekolah menengah agama rakyat serta 590 guru dan staf sekolah persendirian Cina akan menerima RM300.

"Sementara itu, sejumlah 320 guru tahfiz, guru pondok dan guru tadika Islam (Tadis) Pulau Pinang akan menerima RM200 iaitu melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM898,900. Mereka juga akan menerima pembayaran itu pada Disember depan," katanya.

Kon Yeow berkata lagi, dalam merealisasikan Visi Penang2030, kerajaan negeri menggariskan empat strategi bagi memperkasakan pemulihan ekonomi Pulau Pinang.

"Empat strategi merangkumi menggalakkan pelaburan dan meningkatkan produktiviti pemacu pertumbuhan ekonomi, membangunkan infrastruktur dan komuniti digital ke arah ketahanan mampan, memperkukuh dan mensejahtera kualiti hidup rakyat dan memperkasa peranan dan bakat modal insan.

"Bagi menangani kemelesetan dan menjana semula ekonomi, kerajaan negeri telah meluluskan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang (Penang Lawan Covid-19) menerusi tiga fasa iaitu Fasa 1 dengan peruntukan RM75 juta bermula seminggu selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Menurutnya, bagi Fasa ke-2, ia telah dimulakan sejak Mei lalu dengan peruntukan RM76 juta.

"Prihatin dengan rintihan rakyat, Fasa 2.1 dengan peruntukan tambahan sebanyak RM4.5 juta diluluskan pada Ogos, menjadikan peruntukan keseluruhan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang (Penang Lawan Covid-19) mencecah RM155.5 juta.

"Kajian menganggarkan bahawa kadar pengangguran meningkat melebihi tiga peratus di Pulau Pinang pada tahun ini berbanding dua peratus pada tahun lalu dan 2.2 peratus pada tahun 2018.

"Trend pemberhentian pekerja susulan penularan Covid-19 terutama dalam sektor perkhidmatan meliputi perkhidmatan hospitaliti, perdagangan borong, penjualan runcit, pelancongan dan harta tanah banyak menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran ini," katanya.