KUALA LUMPUR - Kerajaan komited untuk terus membantu dan menyokong perniagaan termasuk usahawan industri kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan sektor utama yang masih terkesan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan memahami impak Covid-19 amat besar dan berdasarkan penyelidikan yang dijalankan menunjukkan bahawa banyak lagi perkara yang perlu dilakukan.
Menurut beliau, turut dilaporkan beberapa negara menyaksikan 40 peratus kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik tersebut dan tidak lagi tersedia untuk tahun-tahun yang mendatang sekali gus menjadi lebih teruk serta boleh merosakkan ekonomi jika tidak ditangani dengan baik.
"Bagi kerajaan, fokusnya jelas. Kita akan terus menyokong perniagaan termasuk PKS dan syarikat pertengahan di sektor utama yang terjejas di samping memastikan persekitaran yang stabil dan kondusif untuk pelaburan masuk serta menjana pulangan tambah nilai.
"Kerajaan juga akan memainkan peranannya untuk meningkatkan ekonomi yang dengan cepat menjadi bahagian penting dalam pertumbuhan negara serta mengubah sektor tradisional dan menyelaraskan penawaran dan permintaan di pasaran kerja," katanya.
Tengku Zafrul berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian 'Menilai Kesan Covid-19 ke atas Ekonomi dan Kewangan' melalui platform maya Zoom sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2020 anjuran KSI dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur hari ini.
Tengku Zafrul berkata lagi, namun begitu untuk menjayakan usaha itu ia tidak boleh dilakukan sendirian kerana ia memerlukan satu ekosistem meliputi sokongan perniagaan, institusi kewangan dan peserta ekonomi Malaysia yang lain bagi mencapai matlamat diinginkan.
"Menerusi ekosistem tersebut juga, ia memerlukan kerjasama serantau yang lebih besar dengan rakan dagang kita dan dalam keadaan sekarang, Asia Tenggara boleh menjadi destinasi pelaburan pilihan kerana peralihan perniagaan akibat ketidaktentuan perdagangan global.
"Seperti yang saya nyatakan dalam Mesyuarat Menteri Kewangan APEC (Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik) baru-baru ini, adalah penting untuk berkongsi pembelajaran dan idea utama daripada pandemik tersebut bagi terus menyokong ekonomi masing-masing di samping memperkemaskan usaha pembangunan dalam bidang kewangan, digitalisasi dan infrastruktur," katanya.