Saya tak akan dedahkan, kata Arafat

Iklan
Muhamad Arafat

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad memaklumkan, beliau ada bertemu dengan beberapa ADUN UMNO yang menyatakan kesediaan membentuk kerajaan baharu di Perak.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama wakil rakyat tersebut atas faktor privasi dan menghormati pendirian ADUN berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak kini terumbang-ambing terutama hubungan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Saya ada bertemu mereka dalam beberapa program yang kami hadiri bersama. Tapi biarlah saya rahsiakan siapa mereka. Cuma yang pasti hubungan UMNO dan Bersatu dalam PN ibarat retak menanti belah.

Iklan

"Ia tiada kaitan dengan apa yang sedang berlaku di peringkat Pusat cuma memang sudah lama UMNO tidak puas hati dengan Bersatu di Perak," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, sebagai contoh dalam isu pelantikan ketua kampung, kerajaan negeri masih belum dapat selesaikan kerana kedua-dua parti berebut untuk melantik individu daripada parti masing-masing.

Iklan

Muhamad Arafat berkata, kebanyakan ADUN UMNO tidak berpuas hati dengan pelbagai masalah rakyat yang tidak diselesaikan walaupun mereka menjadi kerajaan.

"Saya difahamkan mereka dah minta kepada kepimpinan tertinggi UMNO supaya menarik sokongan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

"Mereka bergabung kononnya atas semangat penyatuan ummah tapi sekarang ini, mereka menyusahkan ummah sebab banyak masalah ummah gagal diselesaikan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak itu menjangkakan kerajaan negeri akan berubah menjelang Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 26 Oktober ini.

Terdahulu, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mencabar Muhamad Arafat mendedahkan nama ADUN-ADUN yang menyokong pembentukan kerajaan baharu di negeri itu.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO Perak cabar Arafat kemuka bukti