ALOR SETAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menangkap dua lelaki dipercayai ulat tiket dalam operasi khas sempena Tahun Baru Cina di Terminal Bas Shahab Perdana Alor Setar di sini, semalam.
Pengarahnya, Ismasuhaimi Shariff berkata, operasi penyamaran itu melibatkan dua anggota bermula kira-kira jam 11.30 pagi hingga 7 petang.
"Mereka berdua yang berusia 36 dan 42 tahun telah ditangkap oleh penguat kuasa JPJ selepas melakukan urusan jual beli dengan anggota yang membuat penyamaran.
"Menurutnya, mereka melakukan kesalahan memujuk atau mendesak di bawah seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana menawarkan perkhidmatan yang berkaitan menerima upah untuk membawa penumpang bagi kenderaan perkhidmatan awam,” katanya di Ibu Pejabat JPJ Kedah, Suka Menanti, dekat sini.
Menurutnya, kedua-duanya boleh didenda tidak melebihi daripada RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
"Sejumlah wang lebih RM300 turut dirampas dan kini mereka dibebaskan dengan jaminan polis bersama seorang penjamin dan dipanggil untuk didakwa di mahkamah pada 19 Februari ini.
"Seramai sembilan anggota JPJ dan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar terlibat dalam operasi ini,” katanya
Ismasuhaimi berkata, JPJ Kedah serius untuk menangani gejala ulat tiket berikutan terdapat ramai menjadi mangsa berdasarkan aduan-aduan yang diterima.
"Walaupun kes ulat tiket di Alor Setar masih terkawal namun kita akan cuba membanterasnya sehingga ke peringkat akar umbi kerana tidak mahu mereka semakin berani mengambil kesempatan seperti yang kini berlaku di Sungai Petani,” katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, bagi menangani gejala ulat tiket di Terminal Bas Sungai Petani, Kerajaan Kedah bersetuju untuk mengosongkan terminal itu dan berpindah ke stesen bas lama untuk sementara waktu bagi tujuan penambahbaikan.
"Dijangkakan pada April ini penjualan tiket akan dilakukan secara sistem kiosk iaitu jualan secara atas talian bagi mengelak pelanggan terus menjadi mangsa ulat tiket,” katanya.