PASIR SALAK - Minat mendalam terhadap irama dan alunan hasil paluan rebana mendorong seorang lelaki menukar kerjayanya daripada tukang paip kepada pembuat rebana.
Kassim Ibrahim, 43, berkata, beliau mula menghasilkan alat muzik yang cukup sinonim dengan orang Melayu itu sejak empat tahun lalu.
Bapa kepada empat orang anak itu kini boleh berbangga kerana bukan sahaja pandai bermain rebana, malah menjadi guru untuk mengajar mereka yang berminat membuat rebana.
"Disebabkan saya bermain rebana dan mengajar membuat rebana, maka saya mahukan kualiti bunyi yang baik.
"Sebab itu, walaupun tanpa bimbingan sesiapa, saya cuba membuatnya dengan menggunakan kelengkapan sendiri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Gajah, Pasir Panjang Ulu di sini baru-baru ini.
Menurut Kassim, beliau menghasilkan empat jenis rebana iaitu penengkah, penyelang, pembandung dan pelalu yang kesemuanya dibuat daripada kayu halban serta kulit lembu jantan berumur tiga tahun ke atas.
Katanya, proses penghasilan bermula dengan memotong kayu sehingga berbentuk bulat mengikut diameter tertentu, membuat bingkai atau dipanggil melarik, memasang dan melicinkan kulit sebelum mencantikkannya.
"Kulit lembu saya beli secara pukal dengan harga RM100 sekeping, manakala kayu halban saya peroleh dari kawasan hutan sekitar.
"Untuk mengeringkan kulit lembu, ia mengambil masa antara dua minggu sehingga sebulan,” katanya.
Kassim berkata, untuk menghasilkan sebiji rebana penengkah yang menghasilkan bunyi lebih kuat, ia mengambil masa sehingga enam bulan kerana kulit lembu perlu diregangkan secukupnya, namun untuk rebana pelalu dan lain-lain hanya mengambil masa kira-kira dua minggu.
Menyifatkan rebana sebagai simbol kasih sayang kerana ia perlu dimainkan secara berpasangan, beliau berkata, satu set alat muzik tradisional itu yang mengandungi 10 pelalu dan masing-masing satu penengkah, penyelang serta pembandung berharga sekitar RM2,700 hingga RM3,000.
"Bukan semua orang boleh membuat rebana kerana ia memerlukan ketelitian, kesabaran dan kasih sayang yang tinggi. Kalau untuk mengejar keuntungan memang tidak boleh kerana tenaga, masa dan kos yang keluar tidak berbaloi dengan harga jualan,” katanya.
Ditanya mengenai masa depan rebana, Kassim berkata, pihak bertanggungjawab perlu melakukan sesuatu supaya seni warisan Melayu itu tidak di-lupakan.
"Kumpulan yang bermain alatan rebana masih ramai, cuma pembuatnya mungkin tidak ramai.
"Saya berharap ia dapat diberi perhatian agar warisan ini tidak terkubur begitu sahaja. Satu kerugian sekiranya seni rebana dilupakan oleh generasi masa kini,” kata Kassim. - Bernama