PADA 1 Oktober 2020, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa mereka tidak lagi menerima surat layang berkaitan kes rasuah atau salah guna kuasa, melainkan ia dilengkapi dokumen maklumat lengkap dan kukuh untuk menjalankan siasatan.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) bersetuju dengan langkah itu dan berpendapat bahawa masyarakat perlu lebih berani tampil menyalurkan maklumat secara tepat serta sahih untuk memastikan pihak yang terbabit dengan kegiatan tidak bermoral itu dikenakan tindakan setimpal.
Rakyat Malaysia mesti peka dalam memastikan maklumat diterima secara terus atau berani bersemuka dengan pihak berkuasa agar laporan tersebut lebih berkualiti dan lengkap dengan sumber maklumat yang jelas bagi memudahkan tindakan susulan dilakukan.
Kaedah itu lebih berkesan kerana surat layang memang ketara mempunyai kesan buruk terutama terhadap individu tertuduh. Mereka mungkin teraniaya dan masa depan mereka terancam kerana terpalit tuduhan yang tidak berasas atau kerana sakit hati!
Pepatah Inggeris ada menyebut what goes around comes around. Kita pasti tidak mahu orang lain membuat surat layang ke atas diri atau peribadi kita yang boleh merosakkan karier kita pada masa hadapan.
Penggunaan surat layang bergantung kepada keadaan atau punca individu berkenaan terpaksa menggunakan cara tersebut. Mungkin juga kerana ‘tiada saluran’ yang tepat menjadi faktor utama mereka menulis surat layang.
Pihak tertentu kadangkala menjawab:"Siapa kata tidak ada saluran? Kita ada saluran!” Namun, berkesankah saluran-saluran tersebut? Terjaminkah keselamatan dan kerahsiaan identiti individu yang membuat laporan?
SPRM telah memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat pasti akan dirahsiakan dan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Faktor lain yang menyebabkan pelapor terpaksa guna kaedah surat layang kerana bimbang atau takut bukti dan dokumen yang mereka kemukakan itu adalah dokumen sulit atau dokumen terkawal. Persoalan yang sering bermain dalam minda mereka, sejauh manakah mereka boleh dilindungi? Mereka juga risau ada ‘tali barut’ yang akan mendedahkan identiti mereka.
Penulis surat layang juga tidak mendapat sebarang ‘keuntungan’ atas laporan tersebut. Mereka terpanggil untuk melaporkan apabila melihat kekayaan luar biasa segelintir pegawai kerajaan yang hidup melampaui batas logik pendapatan asal.
Kita juga perlu lebih memahami mentaliti atau psikologi penulis surat layang. Biasanya individu berkenaan telah ‘memendam perasaan’ terlalu lama dan perlu melepaskannya. Pasti ada sebab yang munasabah untuk mereka memerah otak dan menghabiskan masa yang lama bagi menulis surat tersebut. Jika tidak, mungkin ada kesan sampingan yang lain.
Kesan tajamnya mata pena adalah lebih hebat daripada mata pedang. Ramai pegawai terutama dalam sektor kerajaan takut dengan kesan surat layang tetapi harus diingat, berkemungkinan juga isi surat layang itu penuh dengan fitnah.
Sehubungan itu, MCW menggesa rakyat Malaysia menggunakan saluran yang tepat, selain dapat membuktikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 memberi impak positif kepada SPRM dan perundangan negara. Akta itu juga penting dikuatkuasakan sepenuhnya bagi mengelak kewujudan surat layang yang akhirnya merosakkan budaya sosial dan masa depan rakyat kita.
* Jais Abdul Karim ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia