Pantai Port Dickson dicemari tumpahan minyak

Iklan
Tumpahan minyak di Pantai Cermin, Batu 10, Port Dickson dikesan hari ini.

PORT DICKSON - Tumpahan minyak dikesan di sepanjang kira-kira tiga kilometer di Pantai Cermin, Batu 10, di sini hari ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, punca tumpahan minyak tersebut masih belum dikenal pasti.

Iklan
Iklan

"Jabatan Marin akan menjalankan siasatan sama ada punca tumpahan minyak dari kapal yang singgah di sini atau daripada punca lain.

"Dalam masa sama siasatan lanjut turut dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan sampel minyak telah diambil seterusnya dihantar ke Jabatan Kimia untuk mengetahui punca tumpahan terbabit,” katanya selepas meninjau keadaan lokasi, di sini petang tadi.

Iklan
Veerapan (tengah) ketika meninjau lokasi tumpahan minyak di Pantai Cermin, Batu 10, Port Dickson hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerja-kerja pembersihan di kawasan itu akan dilakukan dengan jangkaan masa diambil satu hingga ke dua minggu.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak datang ke pantai ini sehingga kerja-kerja pembersihan di pantai ini selesai," katanya.

Iklan

Terdahulu, tular video dan gambar di laman sosial Facebook di kumpulan Facebook ‘Port Dickson Area (official)’ dipercayai berlaku tumpahan minyak di Pantai Cermin, Batu 10, dekat sini hari ini.

Perkongsian di laman itu dilakukan supaya perkara berkenaan dapat dimaklumkan kepada pihak berkaitan.