KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak akan memutuskan masa depannya selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berhubung rancangan mereka untuk musim depan.
"Perasaan saya antara 80 dan 90 peratus dengan Kedah (musim depan) kerana saya suka segala-galanya di sini, tetapi saya akan membuat keputusan selepas mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan.
"Ini kerana saya mahu tahu visi mereka untuk pasukan ini pada masa depan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Terdahulu, Kedah menempah tiket ke saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 selepas meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas Perak dalam perlawanan terakhir CIMB Liga Super di Stadium Perak di Ipoh.
Kemenangan itu membolehkan Kedah muncul naib juara di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dinobatkan juara CIMB Liga Super minggu lalu. Kedah mengumpul 22 mata manakala JDT memperoleh 29 mata daripada 11 perlawanan.
Aidil juga memuji usaha anak buahnya yang mempamerkan aksi hebat sepanjang perlawanan.
"Secara peribadi, saya gembira kerana sebelum ini, saya membantu Kedah layak ke pusingan playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan tahun ini, pasukan kami layak ke Piala Asia AFC musim depan,” kata Aidil.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic menegaskan gol ketiga yang dijaringkan pemain import Kedah, Renan Alves dari Brazil pada separuh masa kedua, telah meranapkan motivasi skuad The Bos Gaurus untuk kembali menyengat.
Jurulatih dari Australia itu juga mendedahkan ketiadaan pemain pertahanan, Shahrul Mohd Saad berikutan penggantungan dan pemain Brazil, Guilherme De Paula yang mengalami kecederaan, menjejaskan prestasi pasukan itu.
Pada perlawanan itu, Kedah mendahului 2-0, hasil jaringan Kpah Sherman dan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-28 dan 31, sebelum pemain dari Brazil Leandro dos Santos menyamakan kedudukan bagi tuan rumah pada minit ke-42 dan masa kecederaan pada separuh masa pertama.
Alves, kemudian menjaringkan gol kemenangan bagi skuad Kedah pada minit ke-63 mengesahkan slot ke saingan Piala AFC 2021 untuk skuad Lang Merah.