Kane bakal beraksi berdepan Denmark - Southgate

Iklan
Harry Kane - Foto Andy Hooper/NMC Pool

PENGENDALI England, Gareth Southgate tetap mahu menurunkan Harry Kane dalam kesebelasan utama pada aksi berdepan Denmark dalam saingan Liga Negara UEFA (Nations League) di Stadium Wembley, awal pagi nanti.

Menurut Southgate biarpun Kane itu hanya beraksi selaku pemain gantian ketika skuad The Three Lions itu menewaskan Belgium 2-1 kelmarin, dia yakin pemain berusia 27 tahun telah bersedia untuk beraksi.

Iklan
Iklan

Malah Southgate berkata, Kane sudah pun melapor diri Ahad lalu sebagai persediaan bagi mengharungi aksi berkenaan.

"Dia (Kane), sudah melapor diri Ahad lalu. Kami memberikan peluang kepada pemain yang melapor diri pada Ahad (terutamanya yang tidak terlibat dengan aksi bersama Wales), dua hari bagi tempoh pemulihan.

Iklan

"Bagi saya dia telah pun mula mempunyai keyakinan berbanding ketika beraksi berdepan Belgium dan saya berharap dia dalam keadaan yang baik untuk diturunkan hari ini,” katanya.

Southgate berkata demikian di sebalik gesaan daripada pengendali Tottenham Hotspurs Jose Mourinho agar Southgate tidak diturunkan dalam ketiga-tiga perlawanan Liga Negara UEFA itu berikutan permulaan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 yang agak padat.

Iklan

Katanya, tidak sukar untuk memahami gesaan Mourinho kerana Spurs sememangnya bergantung kepada Kane selaku penyerang utama pasukan berkenaan.

Sementara itu Southgate berkata, berdasarkan laporan dia yakin kapten England itu telah pun bersedia untuk beraksi pada perlawanan menentang Denmark.

Katanya, pihak perubatan pasukan juga mengesahkan setakat ini Kane hanya mengalami ‘keletihan otot’ dan bukannya ‘kecederaan.’

"Selain mengikuti sesi latihan, pengesahan oleh pihak perubatan itu diharap memberikannya keyakinan untuk beraksi nanti.

Untuk rekod, Kane meledak dua gol ketika Spurs membenam cabaran Manchester United 6-1 di Old Trafford 4 Oktober lalu dan Mourinho pasti mahu menurunkannya pada aksi EPL berdepan Westham, di gelanggang sendiri, Ahad ini