Bot terbalik: Empat nelayan diselamatkan

Iklan
Usaha menyelamatkan nelayan dilaksanakan.

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menyelamatkan empat nelayan selepas dua bot dinaiki terbalik di perairan berhampiran Stulang Laut, di sini hari ini.

Maritime rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan MERS 999 berhubung kejadian sekitar jam 11 pagi oleh orang awam sebelum mengaktifkan operasi menyelamat dan menghantar bantuan ke lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Turut terlibat dalam operasi itu adalah Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta Lembaga Pelabuhan Johor.

Dua buah bot yang dinaiki Mazil Meloja, 33; Thommi Ahin, 33; Sulaiman Abu Hashim, 34 dan Elias Hashim, 50, terbalik ketika cuba menarik pukat yang dipenuhi dengan ikan.

Iklan

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abd Rashid berkata, semua mangsa diselamatkan, manakala bot mangsa ditarik ke pantai berhampiran tempat kejadian.

Menurutnya, punca kejadian dipercayai akibat bebanan jaring yang berat semasa ditarik ke dalam bot dan keadaan laut yang agak bergelora.

Iklan

"Kesemua mangsa dilaporkan tiada mengalami kecederaan dan dibenarkan pulang ke rumah.

"Kami sentiasa mengingatkan nelayan supaya tidak mengabaikan jaket keselamatan bagi mengelakkan sesuatu bencana menjadi lebih buruk,” katanya di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, Maritim Malaysia Johor menasihatkan kepada orang ramai khususnya kepada komuniti maritim agar menitikberatkan aspek keselamatan.

Menurutnya, malah dinasihatkan agar mendapatkan maklumat ramalan cuaca apabila belayar ke laut bagi mengelakkan sebarang kecelakaan yang tidak diingini berlaku.

"Dalam masa sama, mereka juga disarankan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2219401 untuk aduan atau sebarang kecemasan di laut," katanya.