'Institusi diraja beri kestabilan, ketenangan'

Iklan
Wacana Sinar Ke-89 membicarakan topik Raja Berperlembagaan: Kedaulatan dan Cabaran yang berlangsung di Dewan Karangkraf, di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Institusi diraja memberikan kestabilan, kemantapan dan ketenangan di dalam negara tatkala ideologi ahli politik di dalam negara berkenaan berbeza-beza.

Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, sistem beraja adalah sistem yang mengatasi segala pembahagian kuasa legislatif, kehakiman dan eksekutif.

Iklan
Iklan

Malah, beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak melabelkan institusi diraja sebagai sistem pentadbiran kuno kerana sistem republik juga telah lama wujud, sejak dari zaman Yunani lagi.

"Kita biasa bercakap kedaulatan raja, rakyat, udang-undang tapi barangkali elok kita menyusur maksud kedaulatan itu. Pada pemahaman kita, bila biasanya kita sebut tentang kedaulatan, itu adalah proses kekuasaan yang terdapat pada institusi diraja itu, kepada undang-undang atau rakyat yang menjadi punca kuasanya.

Iklan

Kita sudah alami satu evolusi yang panjang. Pada asalnya, kedaulatan itu sentiasa dihubungi dengan kuasa ketuhanan, kuasa dari langit samada apa sahaja agama, semuanya menghubungkan punca kuasa raja adalah daripada ketuhanan.

Itu jugalah digunakan Raja-raja Melayu, dari awal kemasukan Islam sehingga sekarang. Kita dapati punca itu ada, terakam dalam batu-batu bersurat. Kerajaan Melayu di seluruh Alam Melayu sentiasa mengutip ayat al-Quran, taatlah kepada ALLAH, taatlah kepada rasul dan taatlah kepada pemimpin kamu.

Iklan

Jadi ini punca kuasa yang sentiasa digunakan Raja-raja Islam atau Kesultanan Islam maka dari segi kita, apabila raja menggunakan asas agama sebagai punca kuasa, maka situlah punca kedaulatannya tetapi ia mempunyai sejarah yang panjang. Dalam Suruhanjaya Reid, memang jelas ia merujuk kepada dua faktor yang amat besar sebelum menggubal Perlembagaan.

Pertama, faktor sejarah bahawa Tanah Melayu mempunyai sejarah yang amat panjang, mereka sedar bahawa sejarah Tanah Melayu bukan hanya bermula pada zaman Kesultanan Melaka tetapi lebih dari itu.

  • Faktor sejarah adalah satu perkara yang mesti diambil perhatian kerana kewujudan Raja Melayu yang dikekalkan dalam Perlembagaan adalah faktor sejarah berpanjangan.

Kemudian, oleh kerana Tanah Melayu sedang mengalami zaman kolonism, Tanah Melayu sentiasa diperintah oleh seorang Pesuruhjaya British, wakil Ratu England tapi bukan Gabenor, bukan seperti yang nak diadakan dalam Malayan Union. Inilah perbezaan yang amat besar antara sebelum Malayan Union dan selepasnya.

  • Malayan Union nak menakluk, menjajah Tanah Melayu, menjadikan sebuah negara pusat, maka pemerintahnya Gabenor
  • Rakyat bangkit menentang habis-habisan kerana mereka nak hapuskan kedaulatan Raja Melayu

Rakyat perlu memahami seluruh peruntukan dalam Perlembagaan, ini dikatakan cabaran bagi ‘institusi kuno’, yang lama, yang tak patut ada sekarang berbanding sistem lain yang ada. Sebenarnya, institusi diraja memang sejak asalnya begitu tetapi institusi yang kita katakan republik itu sebenarnya sudah kuno, dari zaman Yunani lagi.

Institusi diraja bukan sistem kuno

  • Sistem republik juga sudah lama, wujud sejak zaman Yunani lagi
  • Ia bukan ciptaan Amerika atau Perancis, bukan dicipta semasa zaman moden

Apabila kita bercakap tentang suatu sistem pemerintahan, maka sistem itu selagi ia berfungsi dengan baik, berperanan sebagai satu sistem yang melindungi rakyatnya maka sistem itu adalah sistem yang baik.

Sistem beraja atau sistem monarki adalah sistem yang mengatasi segala pembahagian kuasa. Jadi ia bermakna apabila orang politik di bawah ini bergolak, pada saat tertentu bila sistem itu gagal, raja boleh berkuasa dan menentukan kestabilan negara dan cabaran inilah yang harus difahami semua rakyat bahawa raja itu memberi kestabilan, kemantapan dan ketenangan apabila orang politik dengan ideologi berbeza ini bergolak. Sistemnya tetap kekal dan melindungi rakyat.

Seringkali orang melihat apabila raja mempunyai peribadi yang barangkali sedikit tidak memuaskan, jadi ini seringkali dengan dikaitkan dengan ‘itulah institusi diraja’. Sebenarnya ini tidak betul kerana institusi diraja itu yang terdapat dalam negeri Melayu sejak dulu lagi sentiasa mempunyai syarat-syarat untuk melantik raja itu dengan keperibadian terbaik.

  • Seseorang raja itu sentiasa dituntut oleh syarat-syarat yang baik, moral yang baik, akhlak yang tinggi
  • Raja sentiasa mempunyai kekuatan yang kuat, tidak boleh uzur, mesti mempunyai peribadi yang adil sifatnya, tidak boleh menzalimi orang, melayan orang dengan sama rata sebaiknya

Ini adalah yang disyaratkan dan kalau kita ambil syarat-syarat ini, maka raja itu sentiasa orangnya baik. Pada umumnya raja dan rakyat itu seharusnya rapat kerana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri membolehkan raja itu rapat dengan rakyat, bukan sedar melawat sekali-sekala ke sekolah, solat jemaah di masjid, tiada halangan.

Saya secara peribadi berfikir barangkali mungkin ada suatu ketidakinginan di kalangan orang politik untuk mempopularkan raja di kalangan rakyat kerana apabila raja itu popular di kalangan rakyat, boleh rapat dengan rakyat atau rakyat boleh minta melalui raja, maka barangkali orang politik jadi tak popular padahal dia patut popular sebab dia wakil rakyat.

Jadi ini pada satu pihak, pergolakan kuasa, pergolakan kewibawaan. Kalau raja popular dengan rakyat maka barangkali wakil rakyat tidak menjadi popular. Maka inilah, barangkali ada pihak bermain kuasa,” katanya.