Kijang Hijau tekad beri saingan sengit

Iklan
Antara aksi menarik perlawanan Liga Premier melibatkan Kelantan United. Foto: Kelantan United Football Club

KELANTAN United (KUFC) perlu menggunakan peluang penampilan pertama dalam cabaran TM Piala Malaysia musim ini sebaik mungkin dengan membuktikan kemampuan dan menonjolkan diri di pentas bola sepak negara.

Pengurus Kijang Hijau, Rozi Muhamad berkata, beliau tidak mahu pemain terlalu merendah diri apabila bertemu pasukan yang lebih berpengalaman walaupun KUFC pasukan baharu yang berjaya melayakkan diri ke saingan piala itu.

Iklan
Iklan

"Pemain perlu membuktikan kemampuan yang dimiliki pasukan...dalam bola sepak apa saja boleh berlaku asalkan pemain memberi tumpuan, semangat dan disiplin yang tinggi untuk memperoleh kemenangan setiap kali turun beraksi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

KUFC antara lima pasukan daripada Liga Premier yang layak beraksi pada saingan Piala Malaysia yang dijangka memulakan sepak mula pada 25 atau 26 Oktober ini. Selain KUFC, satu lagi wakil dari negeri ini iaitu Kelantan FC turut layak beraksi pada cabaran piala itu.

Iklan

Rozi berkata, beliau percaya skuad kendalian Nazrulerwan Makmor itu akan tampil dengan semangat berbeza dan dapat memberi laluan sukar kepada pihak lawan selain berharap KUFC dapat beraksi sejauh mungkin pada cabaran Piala Malaysia.

Format pertandingan TM Piala Malaysia dirombak susulan Covid-19 iaitu tiada saingan peringkat kumpulan dan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.

Iklan

Sebanyak 11 pasukan terbaik CIMB Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier yang layak beraksi dalam saingan TM Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah.