PASIR MAS - Penduduk di Kampung Kalor, Gelang Mas digemparkan dengan kemunculan seekor buaya yang dikatakan timbul di sungai di kawasan berkenaan.
Berita kemunculan reptilia itu tular di media sosial apabila ia dikongsi orang ramai.
Tinjauan Sinar Harian di kawasan berkenaan mendapati tiada kelibat buaya sebagaimana yang tular.
Bagaimanapun penduduk, di sini, mengakui kewujudan sang bedal di sungai tersebut.
Seorang penduduk, Harun Saad, 62, berkata, reptilia itu hanya menampakkan diri pada musim tengkujuh sahaja dan ia jarang berlaku.
"Setakat ini (sepanjang dua hari) saya melalui kawasan ini tidak pernah terserempak dengan Pak Bedal.
"Mungkin yang ditularkan itu seekor biawak besar yang menyerupai seekor buaya jika dilihat dari jauh," katanya.
Menurutnya, dia tidak menafikan jika gambar itu betul seekor buaya kerana ia kurang jelas.