Kuarantin kendiri jika dari kawasan PKPB

Iklan
Dr Zaini Hussin

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan meminta individu dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masuk ke Kelantan untuk kuarantin kendiri selama 14 hari.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, berkemungkinan ramai yang akan keluar dari kawasan tersebut setelah PKPB dikuatkuasakan di Selangor, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Putrajaya pada 14 Oktober.

Iklan
Iklan

"Sebahagian besar mungkin akan menuju ke Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan meminta orang ramai yang akan menerima kepulangan ahli keluarga dari Lembah Klang agar menasihat ahli keluarga yang baru pulang menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari sebelum bergaul rapat dengan ahli keluarga yang lain.

Iklan

"Sekiranya dapat disediakan inap desa dan sebagainya, ia adalah amat baik. Jika mereka terpaksa tinggal serumah, asingkan mereka ke dalam bilik berasingan yang mempunyai kemudahan bilik air.

"Makanan dan minuman hendaklah dihantar ke bilik tersebut selain menasihatkan tidak berada di luar bilik dan jika perlu keluar perlulah memakai pelitup muka dan membuat penjarakkan fizikal sekurang-kurangnya satu meter daripada ahli keluarga lain,” katanya.

Iklan

Dr Zaini juga mengharapkan sepanjang tempoh 14 hari itu mereka tidak dibenarkan menziarahi ahli keluarga yang lain, ke pusat membeli-belah, masjid dan ke kedai makan.

"Mereka digalakkan untuk membeli makanan dari kedai makanan secara dalam talian menggunakan khidmat Food Panda atau Grab Food dan membayar menggunakan perbankan secara dalam talian.

"Sekiranya mereka mula mengalami gejala, sila bawa mereka ke Klinik Kesihatan yang berdekatan untuk proses saringan.

"Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan menyaring semua perantau bergejala yang datang daripada kawasan berisiko dalam masa 14 hari.

"Sekiranya anda mempunyai gejala setelah mempunyai kontak dengan mereka, anda perlu ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.

"Sekiranya anda atau ahli keluarga perlu diambil swab, jangan risau kerana proses tersebut tidak sakit dan tidak merbahaya.

"Walaupun kita tidak boleh menghalang saudara-mara kita dari Lembah Klang pulang tetapi kita mampu mengambil langkah-langkah di atas bagi mengelakkan risiko penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) kepada ahli keluarga tersayang

di Kelantan.

"Kami pasti semua orang tidak mahu menjadi orang yang bertanggungjawab menyebarkan virus tersebut dalam kalangan ahli keluarga, kawan-kawan dan komuniti sekitar,” katanya.

Dr Zaini berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan bersedia membantu dari segi khidmat nasihat, rawatan dan penyampaian maklumat berkaitan Covid-19.

"Marilah kita sama-sama berganding bahu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negeri Kelantan,” katanya.