Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 10 pagi, sebuah premis yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan mercun diserbu selepas pasukan operasi melakukan intipan selama lima jam.
"Sewaktu serbuan dan pemeriksaan dilakukan di rumah banglo kayu tersebut, kami telah menemui sejumlah kotak berwarna coklat yang disayki mercun dan sewaktu kerja memunggah barang dilakukan, seorang wanita telah datang dan mengaku kesemua barang tersebut adalah miliknya.
"Suspek yang berumur 37 tahun itu kemudian telah ditahan dan direman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan dan nilai rampasan mercun dan bunga api pada serbuan pertama ini dianggarkan bernilai RM1.2 juta," katanya kepada pemberita sewaktu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini.
Menurutnya, dalam serbuan kedua kira-kira jam 4 petang pada hari yang sama, pasukan serbuan telah memeriksa sebuah lagi premis yang berhampiran dari lokasi serbuan pertama yang disyaki turut dijadikan tempat penyimpanan mercun dan bunga api.
Katanya, hasil pemeriksaan di rumah teres yang tidak berpenghuni itu telah menjumpai sejumlah kotak berwarna coklat yang disyaki mengandungi mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai kira-kira RM400,000.
"Kesemua barangan rampasan kemudian dibawa ke IPD Batu Pahat untuk proses dokumentasi dan jarak di antara lokasi serbuan pertama dan kedua adalah kira-kira satu kilometer dan kami percaya sindiket ini dilakukan oleh dua pihak yang berbeza dan kami sedang mengesan pemilik premis kedua ini untuk membantu siasatan.
"Kami juga percaya kesemua hasil rampasan ini dipercayai disimpan untuk diedar ke pasaran tempatan sempena musim perayaan yang akan tiba ini dan ini merupakan hasil rampasan yang terbesar untuk tahun ini," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957. PPM katanya sentiasa komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta semua jenis jenayah yang melibatkan perairan negara serta jenayah rentas sempadan.