PUTRAJAYA- Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) diberi pengecualian untuk menjalankan peperiksaan yang dilaksanakan oleh penyedia peperiksaan luar negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataannya berkata, keputusan tersebut melibatkan seramai 3,031 pelajar tempatan dan 195 pelajar antarabangsa di empat negeri terlibat PKPB.
Iklan
Iklan
Katanya, pelajar perlu mendapatkan surat pengesahan daripada institusi masing-masing mengikut kategori.
"Kategori tersebut melibatkan pelajar dan institusi yang terlibat dengan Peperiksaan Cambridge GCE ‘A’ Level, Australian Matriculation (AUSMAT), Canadian Pre-U dan seumpamanya," katanya.
Selain itu, pelajar yang berdaftar untuk menduduki peperiksaan dengan penyedia peperiksaan luar negara (external exam providers) atau peperiksaan antarabangsa serta yang telah berdaftar untuk menduduki peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) turut perlu mendapatkan pengesahan.
Jabatan itu berkata, pengecualian tersebut tertakluk kepada pematuhan IPTS terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh pihak berkuasa dan keputusan kerajaan dari masa ke masa.
PKPB dilaksanakan dalam tempoh 14 hari berkuatkuasa hari ini.